Sunday, July 5, 2009

Solat First, Islam First

"Solat First, Islam First" bermaksud utamakan solat dan utamakan Islam. Dalam kehidupan harian kita, masa sangat penting dan kadang-kadang terbatas. Kita dikejar aktiviti dunia yang ada ketikanya menjadi padat. Di samping itu, adakalanya badan kita dicengkam keletihan akibat daripada kehilangan tenaga yang banyak setelah menjalani aktiviti harian.

Dalam keadaan-keadaan tersebut, solat kita 'tercabar'. Tercabar dalam erti kemungkinan kita tidak solat, tidak khusyuk atau melengah-lengahkan solat sehingga hujung waktu. Ini adalah satu implikasi yang perlu kita sedari agar kita sentiasa beringat dan berhati-hati. Solat jangan dijadikan mangsa kepada kepadatan aktiviti dunia dan keletihan fizikal. Walau apa sekalipun, sibuk atau letih, kita mesti solat dengan sempurna yakni khusyuk dan pada awal waktu. Dalam dada kita, mesti segar slogan "Solat First".

Begitu juga dalam dalam urusan kehidupan yang lain. Sama ada kita memilih, mengamalkan, menyokong atau berjuang, kita mestilah mengutamakan yang mana selari dengan Islam. Apabila bertembung sesuatu dengan kepentingan diri, kita mestilah dahulukan tuntutan Islam. Hatta apabila bertembung kepentingan menyelamatkan diri dengan menyelamatkan Islam, maka mestilah kita utamakan untuk menyelamatkan Islam. Dalam hal lain seperti memilih makanan, kita utamakan buatan umat Islam. Dalam memilih perjuangan, kita pilih parti yang memperjuangkan Islam. Dalam memilih sahabat, kita pilih sahabat yang mencintai dan beramal dengan Islam. Dalam memilih pakaian dan fesyennya, pakaian atau fesyen yang mana menepati kehendak Islam. Demikianlah halnya dalam segala urusan kehidupan. Islam mesti didahulukan. Maka tegakkan juga slogan "Islam First" dalam diri dan dalam hati kita.

Pastikan slogan bukan retorik (sekadar kata-kata yang indah). "Solat First, Islam First" adalah tuntutan keimanan.

No comments:

Post a Comment