Wednesday, July 22, 2009



Apabila kita memiliki barang-barang yang berharga, kita hendaklah pandai dan cermat menjaganya. Kita hendaklah menjaganya dengan baik agar tidak mudah rosak atau hilang. Kerosakan dan kehilangan berlaku apabila kita tidak cermat menjaganya atau lalai. Apabila kita mempunyai barang-barang yang berharga, maka kita telah mendapat satu tanggungjawab baru untuk menjaganya.

Antara barang-barang berharga yang dimaksudkan terbahagi kepada dua iaitu barang aset dan dan barang dokumen. Barang aset seperti kereta, laptop, jamtangan, handset dan barang kemas. Manakala barang dokumen seperti kad pengenalan, sijil lahir, sijil akademik, buku akaun dan kad bank, dan dokumen-dokumen penting.

Kehilangan dan kerosakan barang aset menyebabkan kita terpaksa mencari sumber kewangan baru yang besar untuk membaikinya atau mendapatkannya semula. Kehilangan dan kerosakan barang dokumen pula menyebabkan kita terpaksa berulang-alik ke pejabat untuk mendapatkan gantinya dan mungkin urusan hidup kita terjejas.

Dalam banyak-banyak barang berharga itu ada satu lagi barang berharga yang tidak ternilai. Barang ini MESTI dijaga dengan tumpuan penuh sepanjang hayat. Barang itu ialah IMAN dan ISLAM. Orang yang lalai atau tidak menjaga barang ini, maka dia akan menanggung kemurkaan Allah dan kehinaan di dunia dan berterusan ke akhirat.

Justeru itu, kalau anak-anak tahu menyayangi barang aset dan dokumen, maka IMAN dan ISLAM itulah bahan yang tiada komprominya. IMAN dan ISLAM mesti dijaga dan diamalkan berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Dan jangan lupa juga menjaga dengan baik barang aset dan dokumen tadi.

No comments:

Post a Comment