Sunday, July 19, 2009
Manfaatkan Potensi AKAL
Wahai putera-puteriku yang dikasihi,
Antara anugerah Allah yang sangat penting kepada manusia ialah akal fikiran. Allah letakkannya pada bahagian yang paling mulia dan selamat iaitu kepala. Allah tidak meletakkannya di dalam perut atau di lutut. Lokasi akal yang sebegitu rupa membawa mesej bahawa akal itu barang sangat berharga. Akal perlu selamat untuk menyelamatkan pemiliknya. Justeru itu, akal jangan dirosakkan dengan elemen-elemen yang memabukkan seperti arak dan dadah. Akal jangan diresap oleh anasir-anasir perosak seperti bahan-bahan bacaan yang meruntuhkan akhlak dan filem-filem yang melalaikan. Budaya hedonisme perlu dijauhi agar akal sentiasa bersih dan suci.
Anak-anakku,
Sedarkah kalian bahawa manusia sering mengkesampingkan akal dalam kehidupan? Manusia lebih mengikut hawa nafsu dan perasaan atau sentiment dalam urusan-urusan kehidupan. Manusia mengambil jalan mudah. Memerah otak untuk berfikir dirasakan cukup berat dan membebankan. Manusia tidak selesa berfikiran serius. Mereka lebih suka berfikir secara santai, sepintas lalu dan gelojoh. Apa-apa yang terlintas itulah yang diambil tanpa berfikir panjang, tanpa kritis dan tanpa dibahaskan baik dan buruknya. Sebab itulah manusia sering tersilap langkah dan menerima kegagalan.
Alangkah baiknya kita menggunakan akal kita seperti kita sedang bermain catur atau ‘mastermind’. Kita seolah-olah berada dalam satu dewan yang kondusif, tenang, damai dan hening. Tiada haru-biru, tempik-sorak dankecamuk lalu-lintas. Otak sentiasa difokuskan pada buah-buah catur atau warna-warna dalam baris-baris papan mastermind. Langkah-langkah ke hadapan dan mengundur dicanai sebelum bertindak. Strategi lawan diperhatikan. Malah dua tiga langkah ke hadapan sudah diambilkira dalam congakan. Inilah kemampuan akal wahai anak-anakku. Sesiapa yang lebih efisyen akalnya, dialah yang berjaya.
Wahai permata hati,
Nanti semakin dewasa semakin sibuk trafik fikiran kalian. Kalian akan berfikir untuk memilih kerjaya, mengurus diri sebagai anggota keluarga dan masyarakat serta memasuki ruang-ruang baru dalam kehidupan. Kalian perlu mengatur dan menyusun langkah-langkah dan tindakan-tindakan yang sesuai. Seiring dengan itu, kalian nanti tidak sunyi dari cabaran dan rintangan. Kadang-kadang timbul masalah dan kegagalan dalam haluan menuju matlamat. Di sini wujud ranjau-ranjau yang boleh membuatkan manusia gelabah, kecewa dan derita. Tanpa menggunakan akal wahai anak-anakku, manusia mudah sahaja menjadi mundur, kayu mati dan melarat umpama pejuang yang tewas terpenjara dalam kehidupan yang sempit dan gelap. Sedarlah anak-anakku, ayahmu tidak sanggup melihat lukisan kehidupan kalian seperti itu. Kalian mesti maju, berdaya saing, berjaya dan ceria seperti wira pujaan. Kalian boleh mencapainya. Akal itulah alatnya wahai permata hatiku.
Pernah berlaku satu peristiwa bagaimana seorang pemuda kudung kakinya akibat berlumba di jalan raya. Kes bermula dengan kejadian potong-memotong di jalan raya. Apabila rasa tercabar dan darah mula naik ke muka, pemuda tersebut mula mengkesampingkan akalnya. Nafsu amarah telah menguasai fikirannya. Dia mengekori kereta di hadapan yang memotongnya tadi. Di celah-celah kenderaan lain dia mencari ruang untuk memintas. Masing-masing tidak mahu mengalah dan mempertahankan ego yang menyusahkan pengguna jalanraya yang lain. Tiba di satu selekoh, pemuda tadi berjaya memintas kereta di hadapan tetapi dia terpaksa mengelak kerana bertembung dengan lori yang datang dari arah yang bertentangan. Dalam usaha menyelamatkan diri itulah dia terbabas lalu merempuh kereta di hadapannya dan dilanggar sekali lagi oleh lori yang datang dari arah yang bertentangan tadi. Itulah cerita yang disampaikannya kepada kawan-kawan. Dia menyesal. Kakinya yang terpaksa dipotong kerana cedera parah tidak mampu disambung kembali. Anggota yang cukup mahal itu tidak akan terbuang begitu kalau dia menggunakan akal dalam mencongak dan memikirkan sikap yang sewajarnya apabila berada di atas jalanraya.
Anak-anakku,
Lihatlah bagaimana contoh natijah daripada kegagalan memanfaatkan akal. Semestinya akal digunakan setiap detik dan waktu dalam menentukan sikap, tindakan, keputusan dan perancangan masa hadapan. Cara menggunakan akal bukan dalam bentuk sepintas lalu, santai dan sambil lewa. Kita kena renung dan berfikir sejenak. Duduk diam-diam. Congak buruk baik, positif dan negatif. Harus bijak dalam mencari jawapan apabila ada halangan. Harus ada pelan A dan pelan B. Ada unsur-unsur semak dan timbang. Biar lambat sedikit memberi keputusan dan mencapai jawapan, asalkan keputusan yang diambil dan jawapan yang dicapai tepat dan selamat.
Sungguh menarik anak-anakku jika kita berjaya dan selamat dalam sesuatu perkara kerana kebijaksanaan akal fikiran kita. Umpamanya seorang jeneral di medan perang yang memenangi peperangan kerana ketepatan akal, keputusan dan strateginya. Kita akan merasa teruja untuk gunakannya lagi dan gunakannya lagi. Akal kita adalah harta kita. Akal adalah anugerah Allah. Jangan dipersia-siakan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment