Thursday, July 9, 2009

LAKSANAKAN KERJA DAKWAH SEBAGAI SATU AMANAH




Wahai anak-anakku yang disayangi,
Dalam dunia yang semakin meminggirkan kerja dakwah, aku menyeru kepada kalian agar mengambil tanggungjawab itu. Kepada siapakah lagi dapat diamanahkan tanggungjawab ini selain daripada manusia yang ada sedikit kesedaran agama. Apabila kita bercakap tentang hal-hal kehidupan, maka kita akan berlegar di sekitar makan-minum, pekerjaan, hiburan dan peristiwa semasa dalam hubungan dengan rakan taulan serta masyarakat umumnya. Kalau bercakap tentang makan-minum, kita akan ambil berat tentang keenakan makanan, diet, pantang dan menu. Apabila berbicara tentang pekerjaan, butir-butir percakapan akan berkisar pada gaji, tugas, bos, cuti dan bebanan. Kalau bercakap pula tentang hiburan, kita memperkatakana tentang artis, lagu, filem dan aktiviti santai. Begitulah juga apabila kita bercakap tentang hal-hal yang lain.

Sedarilah anak-anakku bahawa manusia sangat malas bercakap tentang hal-hal keagamaan. Mereka menganggap isu-isu agama sebagai remeh, konservatif dan sensitif. Isu-isu agama dikurung di surau dan masjid sahaja. Pengasingan agama dari urusan kehidupan ini menjadi dogma songsang yang menyesatkan. Tanpa kita sedari, inilah realiti masa kini.

Siapakah yang menghabiskan masa di kedai-kedai kopi sambil berbualbicara tentang dosa-pahala, hukum-hakam fiqah , komponen-komponen ibadat dan syariat? Siapakah pula yang ramah dalam membicarakan isi-isi kitab dan pengorbanan serta perjuangan para Nabi, para Sahabat dan ulamak? Tidak ramai orang yang betah berbicara tentang topik-topik ini wahai anak-anakku. Kalau bermodalkan air liur, orang sudah tidak mampu laksanakan; apalagi kerja-kerja dakwah melalui tulisan dan perjuangan yang memerlukan pengorbanan wang, harta, masa dan tenaga? Betapalah nazaknya kerja dakwah pada zaman globalisasi ini.

Aku teringat pesan Nabi s.a.w. yang mengatakan bahawa Islam itu bermula dalam keadaan dagang dan ia kembali dalam keadaan dagang. Apakah yang dapat kita fahami dari pesan Nabi s.a.w. itu? Bukankah itu bermakna situasi Islam dan umatnya kini kembali seperti mana keadaan mula-mula Islam dibawa oleh Nabi s.a.w.? Pada peringkat awal, Islam ditawarkan oleh Nabi s.a.w. dari satu kaum ke satu kaum, dari satu negeri ke satu negeri. Kaum Quraisy menolak. Penduduk Taif pula bertindak ke peringkat yang lebih kejam. Mereka bukan sahaja tidak mahu menerima Islam, malah mereka mencerca dan mencederakan Nabi s.a.w. Bayangkanlah kalau mehnah itu jatuh atas kepala kita, wahai anak-anakku. Kini, umat Islam ramai laksana buih-buih ombak di laut. Sepatutnya Islam berada di tahap tertinggi kerana umatnya yang mendominasi sebahagian besar muka bumi Allah ini. Tetapi ini tidak berlaku wahai anak-anakku kerana mereka sendiri menjuzuk-juzukkan Islam dalam kehidupan. Seperti dikatakan tadi; mereka meletakkan Islam hanya bersuara di surau dan mimbar-mimbar masjid. Dalam hal-hal kehidupan harian; aspek pendidikannya, ekonominya dan politiknya mereka telah memisah-misahkan Islam dari menjadi dasar dan prinsipnya. Berlaku isolasi atau pengasingan terhadap peranan Islam dalam kehidupan. Lidah mereka percaya kepada Islam. Namun hatinya hilang keyakinan terhadap Islam. Tangan dan kakinya tidak lagi bekerja dalam sistem Islam. Inilah yang perlu disedari wahai anak-anakku sekalian.

Kini kerja dakwah perlu diteruskan malah diperhebatkan. Dalam zaman mutakhir ini, tanggungjawab kita semakin besar kerana cabaran dan tuntutan semasa. Satu persoalan yang sepatutnya sentiasa bermain dalam minda kita ialah, “kepada siapakah lagi hendak diamanahkan tugas dakwah ini kalau tidak kepada diri kita sendiri?”

No comments:

Post a Comment