Sunday, July 26, 2009

Allah Jaga Kita

Allah jaga kita dengan jagaan yang terbaik dari segi kesihatan, keselamatan, rezeki dan sebagainya. Maka jagalah hubungan kita dengan Allah. Jaga solat, jaga aurat, jaga ibadat...

Wednesday, July 22, 2009



Apabila kita memiliki barang-barang yang berharga, kita hendaklah pandai dan cermat menjaganya. Kita hendaklah menjaganya dengan baik agar tidak mudah rosak atau hilang. Kerosakan dan kehilangan berlaku apabila kita tidak cermat menjaganya atau lalai. Apabila kita mempunyai barang-barang yang berharga, maka kita telah mendapat satu tanggungjawab baru untuk menjaganya.

Antara barang-barang berharga yang dimaksudkan terbahagi kepada dua iaitu barang aset dan dan barang dokumen. Barang aset seperti kereta, laptop, jamtangan, handset dan barang kemas. Manakala barang dokumen seperti kad pengenalan, sijil lahir, sijil akademik, buku akaun dan kad bank, dan dokumen-dokumen penting.

Kehilangan dan kerosakan barang aset menyebabkan kita terpaksa mencari sumber kewangan baru yang besar untuk membaikinya atau mendapatkannya semula. Kehilangan dan kerosakan barang dokumen pula menyebabkan kita terpaksa berulang-alik ke pejabat untuk mendapatkan gantinya dan mungkin urusan hidup kita terjejas.

Dalam banyak-banyak barang berharga itu ada satu lagi barang berharga yang tidak ternilai. Barang ini MESTI dijaga dengan tumpuan penuh sepanjang hayat. Barang itu ialah IMAN dan ISLAM. Orang yang lalai atau tidak menjaga barang ini, maka dia akan menanggung kemurkaan Allah dan kehinaan di dunia dan berterusan ke akhirat.

Justeru itu, kalau anak-anak tahu menyayangi barang aset dan dokumen, maka IMAN dan ISLAM itulah bahan yang tiada komprominya. IMAN dan ISLAM mesti dijaga dan diamalkan berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Dan jangan lupa juga menjaga dengan baik barang aset dan dokumen tadi.

Tuesday, July 21, 2009






Pada pukul 10.30 pagi, Isnin 20.7.09, BA bersama Abang Cik dan 2 orang kawan ke KL untuk urus hal kereta. BA hantar kereta Kancil kepada Along di Shah Alam dan BA ambil kereta baru Kia Sorento berwarna hitam dengan plat WST 4062.

BA pulang pada pukul 8.30 malam dan tiba pada pukul 1.00 pagi. Hari ini BA ambil cuti rehat untuk pasang aksesori kereta.

Sunday, July 19, 2009

Manfaatkan Potensi AKAL




Wahai putera-puteriku yang dikasihi,
Antara anugerah Allah yang sangat penting kepada manusia ialah akal fikiran. Allah letakkannya pada bahagian yang paling mulia dan selamat iaitu kepala. Allah tidak meletakkannya di dalam perut atau di lutut. Lokasi akal yang sebegitu rupa membawa mesej bahawa akal itu barang sangat berharga. Akal perlu selamat untuk menyelamatkan pemiliknya. Justeru itu, akal jangan dirosakkan dengan elemen-elemen yang memabukkan seperti arak dan dadah. Akal jangan diresap oleh anasir-anasir perosak seperti bahan-bahan bacaan yang meruntuhkan akhlak dan filem-filem yang melalaikan. Budaya hedonisme perlu dijauhi agar akal sentiasa bersih dan suci.

Anak-anakku,
Sedarkah kalian bahawa manusia sering mengkesampingkan akal dalam kehidupan? Manusia lebih mengikut hawa nafsu dan perasaan atau sentiment dalam urusan-urusan kehidupan. Manusia mengambil jalan mudah. Memerah otak untuk berfikir dirasakan cukup berat dan membebankan. Manusia tidak selesa berfikiran serius. Mereka lebih suka berfikir secara santai, sepintas lalu dan gelojoh. Apa-apa yang terlintas itulah yang diambil tanpa berfikir panjang, tanpa kritis dan tanpa dibahaskan baik dan buruknya. Sebab itulah manusia sering tersilap langkah dan menerima kegagalan.

Alangkah baiknya kita menggunakan akal kita seperti kita sedang bermain catur atau ‘mastermind’. Kita seolah-olah berada dalam satu dewan yang kondusif, tenang, damai dan hening. Tiada haru-biru, tempik-sorak dankecamuk lalu-lintas. Otak sentiasa difokuskan pada buah-buah catur atau warna-warna dalam baris-baris papan mastermind. Langkah-langkah ke hadapan dan mengundur dicanai sebelum bertindak. Strategi lawan diperhatikan. Malah dua tiga langkah ke hadapan sudah diambilkira dalam congakan. Inilah kemampuan akal wahai anak-anakku. Sesiapa yang lebih efisyen akalnya, dialah yang berjaya.

Wahai permata hati,
Nanti semakin dewasa semakin sibuk trafik fikiran kalian. Kalian akan berfikir untuk memilih kerjaya, mengurus diri sebagai anggota keluarga dan masyarakat serta memasuki ruang-ruang baru dalam kehidupan. Kalian perlu mengatur dan menyusun langkah-langkah dan tindakan-tindakan yang sesuai. Seiring dengan itu, kalian nanti tidak sunyi dari cabaran dan rintangan. Kadang-kadang timbul masalah dan kegagalan dalam haluan menuju matlamat. Di sini wujud ranjau-ranjau yang boleh membuatkan manusia gelabah, kecewa dan derita. Tanpa menggunakan akal wahai anak-anakku, manusia mudah sahaja menjadi mundur, kayu mati dan melarat umpama pejuang yang tewas terpenjara dalam kehidupan yang sempit dan gelap. Sedarlah anak-anakku, ayahmu tidak sanggup melihat lukisan kehidupan kalian seperti itu. Kalian mesti maju, berdaya saing, berjaya dan ceria seperti wira pujaan. Kalian boleh mencapainya. Akal itulah alatnya wahai permata hatiku.

Pernah berlaku satu peristiwa bagaimana seorang pemuda kudung kakinya akibat berlumba di jalan raya. Kes bermula dengan kejadian potong-memotong di jalan raya. Apabila rasa tercabar dan darah mula naik ke muka, pemuda tersebut mula mengkesampingkan akalnya. Nafsu amarah telah menguasai fikirannya. Dia mengekori kereta di hadapan yang memotongnya tadi. Di celah-celah kenderaan lain dia mencari ruang untuk memintas. Masing-masing tidak mahu mengalah dan mempertahankan ego yang menyusahkan pengguna jalanraya yang lain. Tiba di satu selekoh, pemuda tadi berjaya memintas kereta di hadapan tetapi dia terpaksa mengelak kerana bertembung dengan lori yang datang dari arah yang bertentangan. Dalam usaha menyelamatkan diri itulah dia terbabas lalu merempuh kereta di hadapannya dan dilanggar sekali lagi oleh lori yang datang dari arah yang bertentangan tadi. Itulah cerita yang disampaikannya kepada kawan-kawan. Dia menyesal. Kakinya yang terpaksa dipotong kerana cedera parah tidak mampu disambung kembali. Anggota yang cukup mahal itu tidak akan terbuang begitu kalau dia menggunakan akal dalam mencongak dan memikirkan sikap yang sewajarnya apabila berada di atas jalanraya.

Anak-anakku,
Lihatlah bagaimana contoh natijah daripada kegagalan memanfaatkan akal. Semestinya akal digunakan setiap detik dan waktu dalam menentukan sikap, tindakan, keputusan dan perancangan masa hadapan. Cara menggunakan akal bukan dalam bentuk sepintas lalu, santai dan sambil lewa. Kita kena renung dan berfikir sejenak. Duduk diam-diam. Congak buruk baik, positif dan negatif. Harus bijak dalam mencari jawapan apabila ada halangan. Harus ada pelan A dan pelan B. Ada unsur-unsur semak dan timbang. Biar lambat sedikit memberi keputusan dan mencapai jawapan, asalkan keputusan yang diambil dan jawapan yang dicapai tepat dan selamat.

Sungguh menarik anak-anakku jika kita berjaya dan selamat dalam sesuatu perkara kerana kebijaksanaan akal fikiran kita. Umpamanya seorang jeneral di medan perang yang memenangi peperangan kerana ketepatan akal, keputusan dan strateginya. Kita akan merasa teruja untuk gunakannya lagi dan gunakannya lagi. Akal kita adalah harta kita. Akal adalah anugerah Allah. Jangan dipersia-siakan.

Thursday, July 16, 2009

Inilah Tanggungjawab Ibu dan Bapa.




Semalam (Rabu, 15.07.09), BA naik bas ke Kuala Terengganu kerana urusan ambil duit di Yayasan. UMI pula terpaksa uruskan kereta Kancil. UMI hantar kereta Kancil ke bengkel untuk ditukar tayar dan servis. Itu bukan tugas UMI tetapi tugas BA. Oleh sebab BA sibuk mengajar pagi, petang dan malam, maka UMI terpaksa ambil sebahagian tugas BA. Beli lauk dan hantar Farhan dan Kikat tuisyen dan fardu ain UMI uruskan.

Demikianlah antara kerja buat ibu dan ayah dalam membesarkan anak-anak untuk nanti menjadi anak-anak yang berilmu, berakhlak, beriman dan berjaya. Tugas ini menjadi tanggungjawab setiap orang yang bernama ibu dan bapa. Suatu hari nanti apabila kita pula sampai ke tempat ini, kita juga perlu uruskannya dengan baik sebagai satu tanggungjawab dan amanah dari Allah.

Tugas anak-anak pada hari ini ialah belajar bersungguh-sungguh sehingga sampai matlamatnya, mengamalkan hidup Islami yang menyelamatkan diri di dunia dan akhirat. Dan yang pentingnya hadiahkan untuk BA dan UMI doa-doa agar BA dan UMI sihat, selamat, ceria dan sejahtera serta dimurahkan rezeki serta doakan untuk terbentuknya satu KELUARGA BAHAGIA DAN BERIMAN.

Tuesday, July 14, 2009

Bagaimana Menghadapi Stress?



Stress dihadapi oleh semua orang apabila berhadapan dengan masalah berat atau masalah kecil yang bertimbun-timbun. Stress terbahagi kepada dua iaitu stress ringan dan stress kronik. Ringan dan kronik bergantung kepada manusia itu sendiri. Malah stress tidak lagi menjadi stress jika manusia mempunyai kriteria tertentu dan keupayaan mengendalikannya.

Kriteria untuk membasmi stress:-
1. Orang yang kuat imannya tidak mudah hilang punca apabila menghadapi masalah. Dia tahu bahawa tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Masalah juga merupakan ujian dari Allah terhadap keimanan seseorang. Firman Allah yang bermaksud,"Adakah kamu mengatakan kamu beriman sedangkan kamu tidak diuji?" Orang beriman tahu bahawa tempat dia mengadu ialah Allah. Tempat dia minta diselesaikan masalahnya ialah Allah. Yang memerhatikan bagaimana dia menangani masalah ialah Allah. Jadi segala-galanya menghubungkannya dengan Allah. Apabila hati berhubung dengan Allah, separuh stressnya telah berjaya dibasmi. Malah stress itu akan hilang begitu sahaja.

2. Mengaplikasikan kemampuan otak untuk memandu hidup. Otak digunakan secara bijaksana dan kreatif untuk merencana idea bagai menyelesaikan sesuatu masalah. Orang yang rajin menggunakan potensi otaknya akan mencari jalan-jalan keluar dari himpitan masalah. Dia akan mengenalpasti punca masalah dan memikirkan penyelesaiannya.

3. Sejauh mana seseorang itu mampu meletakkan masalah kehidupan di luar mindanya. Umpama membawa air di dalam gelas. Walaupun berat air itu tak sampai setengah kilogram, namun sekiranya tangannya terus memegang gelas yang berisi air itu selama sejam tanpa henti, maka berat dan lenguh akan terasa. Tetapi jika dia pegang seminit dan letakkan di atas meja selama 5 minit dan berlaku lagi pegang seminit dan letak 5 minit itu, maka tidak mungkin dia lagi dia akan terasa lenguh dan menyakitkan. Begitulah juga halnya masalah dan stress. Kalau kita berjaya meletakkan masalah diluar minda selama 5 jam sebelum dia mengganggu balik selama 5 minit dan begitulah seterusnya, maka kita pasti masalah dan stress itu tidak akan membawa kesan apa-apa. Dan akhirnya, masalah akan selesai begitu sahaja apabila digandingkan dengan usaha dalam kriteria pertama dan kedua tadi.

Kesimpulannya, masalah dihadapi oleh semua orang tetapi bukan semua orang tersiksa dengan stress. Orang yang beriman, berakal dan kuat semangat berhadapan dengan masalah remeh-temeh macam makan kacang sahaja..... selamba sahaja. Orang beriman, berakal dan kuat semangatnya berhadapan dengan masalah besar umpama makan durian.... susah juga belah durian yang berduri tetapi sedap pula untuk menikmati isinya. Ketahuilah bahawa orang yang beriman, berakal dan kuat semangat ada masalah tetapi TIADA STRESS.

Monday, July 13, 2009

Pesanan Sebelum Tidur


Anak-anakku sekalian,
Janganlah dilelapkan mata tanpa mengambil masa seminit dua sebelum memejam mata untuk beristighfar, berzikir, berselawat dan berdoa. Jangan tidur dengan tangan kosong. Bawalah buah tangan sebelum terlelap dengan ayat-ayat yang menghubungkan kita Allah s.w.t. Jadikan amalan sampai ke mati. Mana tahu kita pun mati dalam tidur. Maka kena ingat, sesiapa yang mati dengan akhir kalamnya "Lailaha illaLah", maka jaminan syurga untuknya.