Sunday, August 2, 2009
WASIAT UNTUK ANAK-ANAK
1. Jangan sekali-kali syirik kepada Allah. Jangan kau fakir manusia, jin, kuman, ubat-ubatan dan alam serta makhluk-makhluk juga ada kuasa dan kemampuan selain Allah. Hendaklah kau faham apa dia syirik dengan cara belajar tentangnya.
2. Hendaklah hati kau sentiasa bergantung kepada Allah. Semoga kau dapat merasa betapa tidak memadai dengan ibadat wajib dan sunat, solat dan puasa, haji dan sedekah sedangkan hati lalai dan jauh daripada Allah.
3. Budayakanlah diri dengan ibadat sunat seperti solat sunat, puasa sunat dan bersedekah. Apa beza wajib dan sunat? Wajib kau dapat pahala yang banyak kerana mengerjakannya tetapi kau melakukannya kerana Allah mewajibkan, bukan? Kalau Allah tidak mewajibkan, kemungkinan besar kau tidak melakukannya. Ibadat sunat kau dapat pahala yang tidaklah sebesar ibadat wajib tetapi Allah tidak mewajibkan kau melakukannya, bukan? Kau lakukannya kerana kau sayang kepada Allah. Kau akan dapat kasih sayang Allah kerananya. Inilah yang paling mahal dalam kehidupan baik di dunia mahupun di akhirat.
4. Jangan kau jadi perosak agama. Tidak juga sekadar penyokong perjuangan membela agama. Kau jadilah pendokong perjuangan Islam. Apa sahammu kalau sekadar menyokong? Kau cuma melihat Islam dihina. Kau cuma menonton kemenangan Islam. Kau tiada saham kerana kau cuma penyokong. Kau jadilah pendokong yang ada saham dalam menegakkan Islam. Kau bantulah Islam dengan akalmu, dengan hartamu, dengan lidahmu, dengan tenagamu hatta dengan nyawamu. Dengannya kau berhak untuk bersedih apabila perjuangan Islam tidak menang dan kau berhak gembira apabila Islam menang.
5. Sentiasalah mengingati mati kerana hadis Nabi s.a.w. mengatakan bahawa orang yang paling cerdik di kalangan kamu adalah orang yang paling banyak mengingati mati. Dengan mengingati mati, hati kau tidaklah lalai dan liar.
6. Jadilah hamba yang disayangi Allah dan dikasihi manusia. Untuk disayangi Allah; 1. Buat apa yang Allah suruh dan tinggal apa yang Allah larang. 2. Jadikan zikrulLah sebagai budaya di lidah dan di hatimu. 3. Perbanyakkan ibadat sunat. 4. Tolonglah agama Allah. Untuk dikasihi manusia; 1. Jadilah manusia pemurah dengan banyak memberi dan bersedekah. 2. Jadilah manusia yang suka dan rajin Menolong orang. 3. Jadilah manusia yang baik hati dan berhati suci. 4. Jadilah manusia yang ramah.
7. Hendaklah kau berusaha untuk mengumpulkan ibu bapamu, dirimu, adik-beradikmu dan anak-anakmu serta orang kau sayang dikalangan kamu di dalam syurga. Jangan kau redha dan rela walaupun seorang daripada mereka tidak terjamin hidupnya di akhirat. Hendaklah kau bantu mereka dengan berdoa, memohon ampun kepada Allah untuk mereka dan bersedekah untuk mereka.
8. Gunakanlah akal yang Allah kurniakan untuk mengurus hidupmu di dunia. Gunakanlah akal untuk menyelesaikan masalah hidupmu. Gunakanlah akal untuk menjadi manusia yang cemerlang di dunia dan di akhirat.
9. Bantulah adik-beradikmu untuk sama berjaya dan selamat seperti kamu. Ambil sikap yang tua dihormati dan yang muda dikasihi. Sikap ini menjadikan kau hidup mesra dan berbaik-baik di antara kamu sebagai adik-beradik soleh dalam satu keluarga. Ajar dan pimpinlah dengan agama. Bantulah dengan harta. Hendaklah ada di kalangan kamu pendamai untuk menyelesaikan masalah yang mungkin timbul di kalangan kamu. Jangan kau rasa tenang dan senang kerana kau beriman sedangkan adik-beradikmu jahil dan jauh dai Tuhan. Bawakan mereka bersama agar menjadi beriman seperti kamu. Jangan kau rasa tenang dan senang dengan kekayaan dan kejayaanmu sedangkan adik-beradikmu hidup dalam kemiskinan dan kegagalan. Bantulah mereka untuk menjadi senang dan berjaya seperti kamu.
10. Janganlah kau lupa nasib ibu bapamu jika mereka sudah meninggalkan kamu. Doakanlah untuk mereka, mintalah keampunan Allah untuk mereka, bersedekahlah atas nama mereka selagi kau masih hidup.
11. Jika kau menghadapi masalah, jangan mudah hilang punca. Bukankah masalah juga satu bentuk ujian Allah? Jangan mengambil jalan syaitan. Ambillah jalan iman. Rayu pertolongan Tuhanmu. Banyakkan diri berada di atas sejadah – mohon doa, mohon petunjuk, mohon diberi kesabaran. Isya-Allah, Allah tidak akan meninggalkanmu sendirian. Allah akan menyelesaikan masalahmu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment