Wednesday, August 12, 2009

KISAH DAN RAHSIA NAMA ANAK-ANAK



Ba pilih nama anak-anak dengan persetujuan Umi. Nama tidak diberikan begitu sahaja. Ada hasrat dan cerita di sebaliknya. Semua nama anak lelaki Ba dahulukan dengan nama MOHD (singkatan bagi Muhammad. Nama Abang Ngah seorang sahaja dengan ejaan Penuh, Muhammad). Ada hadis yang menyuruh diberikan nama anak lelaki dengan nama MUHAMMAD. MUHAMMAD ( atau singkatnya MOHD) bermaksud ‘akhlak yang terpuji’. Manakala NUR menghiasi semua nama anak kerana datang dalam hati Ba untuk jadikan anak-anak sebagai "Cahaya" bagi Ba dan Umi, cahaya bagi agama dan cahaya bagi diri sendiri. Ikuti kisah setiap nama beriku secara ringkast:-

1. NURSYAHADAH
Nama ini Ba cipta sendiri; bukan ambil dari buku atau tiru nama orang lain. Ba menjadikan Nursyahadah (Cahaya Penyaksian) sebagai tanda dan bukti bahawa Ba adalah hamba Allah yang menyaksikan bahawa 'tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah'. Melalui nama ini Ba ingin jadikan tanda bahawa Ba menjunjung dua kalimah syahadah. Nama ini ringkas,indah dan mudah disebut. Hasrat Ba agar Along melaksanakan dua kalimah syahadah dengan benar dan amanah.

2. MUHAMMAD NURHILMI
Nama ini juga Ba cipta selepas merujuk senarai nama dalam sebuah buku. Ba dapati Hilmi bermaksud ‘yang penyantun’. Ba tambah MUHAMMAD dan NUR. Asalnya Ba nak ringkaskan jadi MOHD tetapi pegawai pendaftaran kata tak boleh. Katanya kena eja penuh MUHAMMAD. NURHILMI (Cahaya Penyantun) dipilih dengan hasrat anak menjadi seorang yang penyantun, berbudi bahasa dan baik akhlaknya. Jadilah maksudnya manusia yang berakhlak mulia dan penyantun. Ba dan Umi harap dengan nama ini Abang Ngah jadi insan yang berakhlak mulia dan penyantun terutamanya dengan ibu bapa.


3. MOHD NURHAJAT SYAZWAN
Kali ini tiada masalah untuk gunakan singkatan MOHD. Jadi Ba pun sambungkan dengan NURHAJAT ( Cahaya Keinginan). Nama ini hasil gabungan nama rekaan Ba iaitu MOHD NURHAJAT dan digabungkan dengan nama keinginan Umi iaitu SYAZWAN. Ba ingin seorang lagi anak lelaki sebelum Umi mengandung. Akhirnya, Allah kurniakan seorang lagi anak lelaki. Lalu Ba reka nama itu. Apabila dilahir, Umi pula berminat dengan nama SYAZWAN kerana masa itu nama ini popular dan sedap disebut. Untuk tidak menghampakan Umi dan takut-takut ini adalah anak terakhir, maka Ba rasa biarlah diberikan juga nama SYAZWAN ini. Maka jadilah nama MOHD NURHAJAT SYAZWAN yang panjang. Tak silap Ba makna SYAZWAN ialah ‘seharum kasturi’ berdasarkan makna dari buku Nama-Nama Pilihan. Ba dan Umi harap agar Adik Wan membawa imej dan perwatakan dengan nama yang mengharumkan agama, keluarga kita dan bagi Adik Wan sendiri.


4. MOHD NURFARHAN
Berselang hampir 6 tahun, Allah kurniakan lagi seorang anak lelaki yang menarik ini. Ba pilih pula nama FARHAN kerana sedap juga disebut dan maknanya ialah kegembiraan atau kebahagiaan. Sebab itulah budak ‘Cahaya Kegembiraan’ gembira sokmo. Kata orang Terengganu, senyum sokmo. Nama FARHAN juga Ba rujuk dalam buku. Maka MOHD NURFARHAN bermaksud ‘akhlak terpuji dengan cahaya kebahagiaan’. Memang Ba dan Umi harap Abang Cik mempunyai akhlak yang baik dan hidup berbahagia di dunia dan di akhirat.

5. NURHAKIKAT
Banyak-banyak nama, nama ini orang rasa pelik sekali. Bila kita panggil “Kat” orang ingat kita panggil dia sebagai “KAK” atau kakak. Sedangkan dialah bungsu. Ba fikir bahawa kita kena kenal hakikat diri kita yang lemah, bersifat hamba dan hakikat kehidupan kita sendiri yang tidak akan kekal. Malah hakikat kita ialah menunjukkan Allah Maha Hebat dan kita adalah cerminan kehebatan-Nya.

Ba reka nama ini tanpa rujukan apa-apa. Ba cuma ingat tentang hakikat diri manusia yang serba lemah. Allah berfirman yang bermaksud,’ tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah-KU.” Maka hakikat kejadian kita adalah untuk menyembah Allah dengan memberi ketaatan kepada-Nya. Maka terbentuklah nama NUR HAKIKAT ( Cahaya Kebenaran yang Hakiki). Ba harap Kat jadikanlah nama ini untuk jadi hamba Allah yang sebenarnya.

Demikianlah serba ringkas rahsia dan kisah nama masing-masing. Mungkin Kikat-lah yang bungsu kerana semasa melahirkan Kikat, Umi ada darah tinggi dan terpaksa bersalin di Wad Hospital Kuala Terengganu. Jadi Umi bimbanglah keselamatan Umi. Sehingga ke hari ini, inilah lima orang anak yang menjadi “permata” dan “ penyejuk mata hati” Ba dan Umi. Harap anak-anak dapat merealisasikan hasrat dan harapan Ba dan Umi. Antara perkara berguna yang ditinggalkan oleh manusia apabila mereka memasuki alam barzakh ialah amal soleh, harta yang disedekahkan serta anak yang soleh dan mendoakan untuk ibu bapanya. Sekian.

No comments:

Post a Comment