Sunday, July 12, 2009

Kempen Budi Bahasa Budaya Kita





Di sekolah Ba, hari ini, dilancarkan kempen Budi Bahasa. Budi bahasa merangkumi cara kita bercakap, berinteraksi dengan manusia, haiwan dan alam. Budi bahasa amat penting untuk menjadi insan yang berakhlak mulia, dihormati dan disayang.

Bukan semua manusia mempunyai akhlak semulia Nabi s.a.w. Namun, Ba harap anak-anak cuba memperbaiki budi bahasa atas apa-apa yang masih kurang. Ba tak mahu anak murid Ba sahaja dibentuk budi bahasa mereka, sedangkan anak sendiri diabaikan dan mempunyai budi bahasa yang tidak baik.

Maka baikilah budi bahasa ketika bercakap dengan ibu bapa dan orang tua. Kalau nanti kita menjadi pegawai, beruruslah dengan pelanggan dengan rendah diri, hormat, senyuman dan banyak membantu. Jangan tunjuk keegoan dan kuasa. Ular menyusur akar tak akan hilang bisanya. Kalau kita menjadi orang yang senang, jangan diasingkan orang yang susah. Kita hendaklah sentiasa mesra tanpa darjat.

Demikianlah pesanan untuk mengingatkan tentang budi bahasa.

Thursday, July 9, 2009

LAKSANAKAN KERJA DAKWAH SEBAGAI SATU AMANAH




Wahai anak-anakku yang disayangi,
Dalam dunia yang semakin meminggirkan kerja dakwah, aku menyeru kepada kalian agar mengambil tanggungjawab itu. Kepada siapakah lagi dapat diamanahkan tanggungjawab ini selain daripada manusia yang ada sedikit kesedaran agama. Apabila kita bercakap tentang hal-hal kehidupan, maka kita akan berlegar di sekitar makan-minum, pekerjaan, hiburan dan peristiwa semasa dalam hubungan dengan rakan taulan serta masyarakat umumnya. Kalau bercakap tentang makan-minum, kita akan ambil berat tentang keenakan makanan, diet, pantang dan menu. Apabila berbicara tentang pekerjaan, butir-butir percakapan akan berkisar pada gaji, tugas, bos, cuti dan bebanan. Kalau bercakap pula tentang hiburan, kita memperkatakana tentang artis, lagu, filem dan aktiviti santai. Begitulah juga apabila kita bercakap tentang hal-hal yang lain.

Sedarilah anak-anakku bahawa manusia sangat malas bercakap tentang hal-hal keagamaan. Mereka menganggap isu-isu agama sebagai remeh, konservatif dan sensitif. Isu-isu agama dikurung di surau dan masjid sahaja. Pengasingan agama dari urusan kehidupan ini menjadi dogma songsang yang menyesatkan. Tanpa kita sedari, inilah realiti masa kini.

Siapakah yang menghabiskan masa di kedai-kedai kopi sambil berbualbicara tentang dosa-pahala, hukum-hakam fiqah , komponen-komponen ibadat dan syariat? Siapakah pula yang ramah dalam membicarakan isi-isi kitab dan pengorbanan serta perjuangan para Nabi, para Sahabat dan ulamak? Tidak ramai orang yang betah berbicara tentang topik-topik ini wahai anak-anakku. Kalau bermodalkan air liur, orang sudah tidak mampu laksanakan; apalagi kerja-kerja dakwah melalui tulisan dan perjuangan yang memerlukan pengorbanan wang, harta, masa dan tenaga? Betapalah nazaknya kerja dakwah pada zaman globalisasi ini.

Aku teringat pesan Nabi s.a.w. yang mengatakan bahawa Islam itu bermula dalam keadaan dagang dan ia kembali dalam keadaan dagang. Apakah yang dapat kita fahami dari pesan Nabi s.a.w. itu? Bukankah itu bermakna situasi Islam dan umatnya kini kembali seperti mana keadaan mula-mula Islam dibawa oleh Nabi s.a.w.? Pada peringkat awal, Islam ditawarkan oleh Nabi s.a.w. dari satu kaum ke satu kaum, dari satu negeri ke satu negeri. Kaum Quraisy menolak. Penduduk Taif pula bertindak ke peringkat yang lebih kejam. Mereka bukan sahaja tidak mahu menerima Islam, malah mereka mencerca dan mencederakan Nabi s.a.w. Bayangkanlah kalau mehnah itu jatuh atas kepala kita, wahai anak-anakku. Kini, umat Islam ramai laksana buih-buih ombak di laut. Sepatutnya Islam berada di tahap tertinggi kerana umatnya yang mendominasi sebahagian besar muka bumi Allah ini. Tetapi ini tidak berlaku wahai anak-anakku kerana mereka sendiri menjuzuk-juzukkan Islam dalam kehidupan. Seperti dikatakan tadi; mereka meletakkan Islam hanya bersuara di surau dan mimbar-mimbar masjid. Dalam hal-hal kehidupan harian; aspek pendidikannya, ekonominya dan politiknya mereka telah memisah-misahkan Islam dari menjadi dasar dan prinsipnya. Berlaku isolasi atau pengasingan terhadap peranan Islam dalam kehidupan. Lidah mereka percaya kepada Islam. Namun hatinya hilang keyakinan terhadap Islam. Tangan dan kakinya tidak lagi bekerja dalam sistem Islam. Inilah yang perlu disedari wahai anak-anakku sekalian.

Kini kerja dakwah perlu diteruskan malah diperhebatkan. Dalam zaman mutakhir ini, tanggungjawab kita semakin besar kerana cabaran dan tuntutan semasa. Satu persoalan yang sepatutnya sentiasa bermain dalam minda kita ialah, “kepada siapakah lagi hendak diamanahkan tugas dakwah ini kalau tidak kepada diri kita sendiri?”

Tuesday, July 7, 2009

Syukur Selalu Kepada Allah

Kita rasa, badan sihat itu perkara biasa kerana orang lain juga sihat. Kita rasa selamat pergi balik dalam perjalanan itu biasa kerana orang lain juga selamat. Kita rasa dapat makan dan minum itu biasa kerana orang lain pun dapat makan dan minum. Kita rasa dapat buang air besar dan air kecil itu biasa. Dapat berjalan dan bercakap itu biasa. Dan dapat tidur bangun itu biasa. Kerana rasa semua itu perkara biasalah menyebabkan tidak tercetus di hati kita rasa syukur.

Syukur ialah rasa terima kasih kepada Allah. Terima kasih pula berlaku apabila kita menerima sesuatu yang kita rasa berharga. Oleh sebab semua nikmat di atas kita rasa biasa, maka kita tidak rasa nikmat itu berharga. Justeru itu, tidak lahirlah rasa syukur pada lidah dan hati kita.

Kalau kita insafi segala nikmat itu, pasti kita akan ucap syukur di lidah dan di hati setiap masa, setiap hari, setiap sebelum tidur, bangun tidur. Kita akan sujud syukur. Dan kita ingat akan Allah sentiasa. Maka hati sentiasa bergantung pada Allah. Dan Allah berfirman yang bermaksud, "Jadilah kamu hamba yang banyak bersyukur".

Monday, July 6, 2009

Solat Hajat Untuk UPSR Farhan

Amalkan tolong-menolong dan saling berdoa untuk adik-beradik. Dua bulan lagi, Farhan akan menghadapi UPSR. Eloklah sekarang kita mula solat hajat untuk kejayaannya. Mudah-mudahan dengan solat hajat kita, dia tidak cuai semasa menjawab; dia tidak tersilap memilih jawapan; dia dalam keadaan sihat walafiat semasa menduduki peperiksaan; dia dapat jawab yang terbaik dan seterusnya semoga dia mendapat keputusan terbaik dan cemerlang.

Budaya tolong-menolong, kasih-mengasihani dan saling berdoa mesti dihidupkan untuk mengeratkan hubungan keluarga. Apabila budaya ini selalu diamalkan, maka usaha ini akan berpanjangan sampai ke tua. Ini bermakna kita telah memberi saham atas kejayaan adik-beradik kita. Tidak guna kita senang dan berjaya seorang diri, sedangkan adik-beradik kita bergelut dalam kesusahan.

Kejayaan kita adalah kejayaan bersama.

Sunday, July 5, 2009

Solat First, Islam First

"Solat First, Islam First" bermaksud utamakan solat dan utamakan Islam. Dalam kehidupan harian kita, masa sangat penting dan kadang-kadang terbatas. Kita dikejar aktiviti dunia yang ada ketikanya menjadi padat. Di samping itu, adakalanya badan kita dicengkam keletihan akibat daripada kehilangan tenaga yang banyak setelah menjalani aktiviti harian.

Dalam keadaan-keadaan tersebut, solat kita 'tercabar'. Tercabar dalam erti kemungkinan kita tidak solat, tidak khusyuk atau melengah-lengahkan solat sehingga hujung waktu. Ini adalah satu implikasi yang perlu kita sedari agar kita sentiasa beringat dan berhati-hati. Solat jangan dijadikan mangsa kepada kepadatan aktiviti dunia dan keletihan fizikal. Walau apa sekalipun, sibuk atau letih, kita mesti solat dengan sempurna yakni khusyuk dan pada awal waktu. Dalam dada kita, mesti segar slogan "Solat First".

Begitu juga dalam dalam urusan kehidupan yang lain. Sama ada kita memilih, mengamalkan, menyokong atau berjuang, kita mestilah mengutamakan yang mana selari dengan Islam. Apabila bertembung sesuatu dengan kepentingan diri, kita mestilah dahulukan tuntutan Islam. Hatta apabila bertembung kepentingan menyelamatkan diri dengan menyelamatkan Islam, maka mestilah kita utamakan untuk menyelamatkan Islam. Dalam hal lain seperti memilih makanan, kita utamakan buatan umat Islam. Dalam memilih perjuangan, kita pilih parti yang memperjuangkan Islam. Dalam memilih sahabat, kita pilih sahabat yang mencintai dan beramal dengan Islam. Dalam memilih pakaian dan fesyennya, pakaian atau fesyen yang mana menepati kehendak Islam. Demikianlah halnya dalam segala urusan kehidupan. Islam mesti didahulukan. Maka tegakkan juga slogan "Islam First" dalam diri dan dalam hati kita.

Pastikan slogan bukan retorik (sekadar kata-kata yang indah). "Solat First, Islam First" adalah tuntutan keimanan.

Farhan Jatuh Ke Dalam Longkang

Pagi-pagi lagi, Farhan telefon bahawa seluarnya kotor kerana dia jatuh longkang di sekolah. Katanya licin. Entah dia bermain apa di sekolah. Umi kena hantar seluar lain kepadanya. Pagi ini, dia mula periksa Pra-Percubaan UPSR. Harap dia buat yang terbaik. Janji kalau dapat A apa-apa subjek, BA akan beri duit sekolah RM5.00.

Thursday, July 2, 2009

Kepentingan Solat Istikharah






Dalam hidup, ada ketikanya kita perlu membuat satu keputusan yang penting. Penting dari segi untuk menentukan kesesuaian,keselamatan, keperluan dan keutamaan. Ilmu kita terbatas sedangkan ilmu Allah tiada sempadan. Baik bagi kita mungkin di sisi ilmu Allah tidak baik. Tidak baik pada ilmu kita tetapi mungkin baik di sisi ilmu Allah. Dengan ilmu dan akal yang terbatas, kita kadang-kadang tidak mampu membuat keputusan yang tepat. Kesilapan dalam membuat keputusan memberi natijah negatif kepada kita seperti kerugian dari segi peluang,kebendaan dan keselamatan.

Bertolak dari premis itulah kita perlu mengutamakan petunjuk dari Allah.Atas asas "Islam First", marilah pada setiap masa mengerjakan solat Istikharah apabila keadaan memerlukan kita membuat keputusan yang penting. Jangan kita mudah-mudah membuat keputusan tanpa meminta petunjuk dari Allah. Membuat keputusan selepas Solat Istikharah menjadikan kita redha dan insya-Allah, Allah akan memberikan kita yang terbaik mengikut ilmu-Nya. Mungkin dari segi jangka pendek tak baik tetapi dari segi jangka panjang baik. Hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui.

Justeru itu, ingatkan Solat Istikharah dalam minda. Allah Fisrt, Islam First.