Wednesday, August 12, 2009

KISAH DAN RAHSIA NAMA ANAK-ANAK



Ba pilih nama anak-anak dengan persetujuan Umi. Nama tidak diberikan begitu sahaja. Ada hasrat dan cerita di sebaliknya. Semua nama anak lelaki Ba dahulukan dengan nama MOHD (singkatan bagi Muhammad. Nama Abang Ngah seorang sahaja dengan ejaan Penuh, Muhammad). Ada hadis yang menyuruh diberikan nama anak lelaki dengan nama MUHAMMAD. MUHAMMAD ( atau singkatnya MOHD) bermaksud ‘akhlak yang terpuji’. Manakala NUR menghiasi semua nama anak kerana datang dalam hati Ba untuk jadikan anak-anak sebagai "Cahaya" bagi Ba dan Umi, cahaya bagi agama dan cahaya bagi diri sendiri. Ikuti kisah setiap nama beriku secara ringkast:-

1. NURSYAHADAH
Nama ini Ba cipta sendiri; bukan ambil dari buku atau tiru nama orang lain. Ba menjadikan Nursyahadah (Cahaya Penyaksian) sebagai tanda dan bukti bahawa Ba adalah hamba Allah yang menyaksikan bahawa 'tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah'. Melalui nama ini Ba ingin jadikan tanda bahawa Ba menjunjung dua kalimah syahadah. Nama ini ringkas,indah dan mudah disebut. Hasrat Ba agar Along melaksanakan dua kalimah syahadah dengan benar dan amanah.

2. MUHAMMAD NURHILMI
Nama ini juga Ba cipta selepas merujuk senarai nama dalam sebuah buku. Ba dapati Hilmi bermaksud ‘yang penyantun’. Ba tambah MUHAMMAD dan NUR. Asalnya Ba nak ringkaskan jadi MOHD tetapi pegawai pendaftaran kata tak boleh. Katanya kena eja penuh MUHAMMAD. NURHILMI (Cahaya Penyantun) dipilih dengan hasrat anak menjadi seorang yang penyantun, berbudi bahasa dan baik akhlaknya. Jadilah maksudnya manusia yang berakhlak mulia dan penyantun. Ba dan Umi harap dengan nama ini Abang Ngah jadi insan yang berakhlak mulia dan penyantun terutamanya dengan ibu bapa.


3. MOHD NURHAJAT SYAZWAN
Kali ini tiada masalah untuk gunakan singkatan MOHD. Jadi Ba pun sambungkan dengan NURHAJAT ( Cahaya Keinginan). Nama ini hasil gabungan nama rekaan Ba iaitu MOHD NURHAJAT dan digabungkan dengan nama keinginan Umi iaitu SYAZWAN. Ba ingin seorang lagi anak lelaki sebelum Umi mengandung. Akhirnya, Allah kurniakan seorang lagi anak lelaki. Lalu Ba reka nama itu. Apabila dilahir, Umi pula berminat dengan nama SYAZWAN kerana masa itu nama ini popular dan sedap disebut. Untuk tidak menghampakan Umi dan takut-takut ini adalah anak terakhir, maka Ba rasa biarlah diberikan juga nama SYAZWAN ini. Maka jadilah nama MOHD NURHAJAT SYAZWAN yang panjang. Tak silap Ba makna SYAZWAN ialah ‘seharum kasturi’ berdasarkan makna dari buku Nama-Nama Pilihan. Ba dan Umi harap agar Adik Wan membawa imej dan perwatakan dengan nama yang mengharumkan agama, keluarga kita dan bagi Adik Wan sendiri.


4. MOHD NURFARHAN
Berselang hampir 6 tahun, Allah kurniakan lagi seorang anak lelaki yang menarik ini. Ba pilih pula nama FARHAN kerana sedap juga disebut dan maknanya ialah kegembiraan atau kebahagiaan. Sebab itulah budak ‘Cahaya Kegembiraan’ gembira sokmo. Kata orang Terengganu, senyum sokmo. Nama FARHAN juga Ba rujuk dalam buku. Maka MOHD NURFARHAN bermaksud ‘akhlak terpuji dengan cahaya kebahagiaan’. Memang Ba dan Umi harap Abang Cik mempunyai akhlak yang baik dan hidup berbahagia di dunia dan di akhirat.

5. NURHAKIKAT
Banyak-banyak nama, nama ini orang rasa pelik sekali. Bila kita panggil “Kat” orang ingat kita panggil dia sebagai “KAK” atau kakak. Sedangkan dialah bungsu. Ba fikir bahawa kita kena kenal hakikat diri kita yang lemah, bersifat hamba dan hakikat kehidupan kita sendiri yang tidak akan kekal. Malah hakikat kita ialah menunjukkan Allah Maha Hebat dan kita adalah cerminan kehebatan-Nya.

Ba reka nama ini tanpa rujukan apa-apa. Ba cuma ingat tentang hakikat diri manusia yang serba lemah. Allah berfirman yang bermaksud,’ tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah-KU.” Maka hakikat kejadian kita adalah untuk menyembah Allah dengan memberi ketaatan kepada-Nya. Maka terbentuklah nama NUR HAKIKAT ( Cahaya Kebenaran yang Hakiki). Ba harap Kat jadikanlah nama ini untuk jadi hamba Allah yang sebenarnya.

Demikianlah serba ringkas rahsia dan kisah nama masing-masing. Mungkin Kikat-lah yang bungsu kerana semasa melahirkan Kikat, Umi ada darah tinggi dan terpaksa bersalin di Wad Hospital Kuala Terengganu. Jadi Umi bimbanglah keselamatan Umi. Sehingga ke hari ini, inilah lima orang anak yang menjadi “permata” dan “ penyejuk mata hati” Ba dan Umi. Harap anak-anak dapat merealisasikan hasrat dan harapan Ba dan Umi. Antara perkara berguna yang ditinggalkan oleh manusia apabila mereka memasuki alam barzakh ialah amal soleh, harta yang disedekahkan serta anak yang soleh dan mendoakan untuk ibu bapanya. Sekian.

PENDIDIKAN HATI



Salam perjuangan kepada hamba-hamba Allah yang memperjuangkan Agama Allah swt.
Ketahuilah olehmu, berjuang meninggikan agama Allah itu adalah suatu pekerjaan yang mulia lagi agung kerana itulah kerja para Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul. Tidak ada kerja yang lebih mulia melainkan membawa manusia kepada Tuhannya, seperti membawa kekasih bertemu kekasih,membawa anak bertemu ayahnya,membawa isteri bertemu suaminya yang telah lama terpisah kerana kejahilan dan keduniaan.
Rasul-rasul diturunkan oleh Allah swt ke dunia ini adalah kerana untuk membawa manusia mengenali diri dan mengenali Tuhan yang Maha Esa. Mereka mengingatkan semula seluruh manusia agar mengenal Allah swt (makrifatullah) dan mengajar bagaimana untuk mengenal Allah swt. Tanpa makrifatullah, manusia akan terus berada di dalam kejahilan dan seterusnya sesat hingga berlakunya kejadian-kejadian dosa dan maksiat. Mereka mengingatkan kembali perbicaraan hamba dengan Allah di alam arwah (ruh) suatu masa dahulu;
“Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab: "Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi.( Al A'raaf-172).
Ruh manusia sebenarnya atau hakikatnya telah mengenal Allah dan telah ada perjanjian dengan Allah swt. Kedatangan Pesuruh Allah adalah untuk mengingatkan semula dan membersihkan semula hati yang sudah kotor dan hitam supaya kembali bercahaya dan bersinar.
Wahai pejuang agama Allah swt, turutilah dakwah dan tarbiyah sebagaimana Rasulullah SAW melaluinya. Ikutilah jejak langkah Rasulullah saw nescaya kamu tidak akan tersasar daripada matlamat asal. Berjuang agama mesti bermula berjuang dari dalam diri. Sebagaimana Rasululullah lakukan di Mekah iaitu kenalkan mereka akan Tauhid dan diMadinah dengan Syariat. Ikutilah sirah atau perjalanan Nabi dididik dan ditarbiyah oleh Allah. Dalam kisah Isra’ mikraj Rasulullah saw, di situ banyak rahsia yang perlu difahami dan diikuti agar hati dan diri mendapat apa Rasulullah perolehi. Manusia rosak dan kacau bilau adalah disebabkan keimanan. Keimanan yang amat nipis atau tiada langsung terhadap Allah yang mencipta dirinya. Keimanan/keyakinan ini adalah umpama suatu tali tambatan yang berhubung terus dengan Allah swt. Tanpa tali ini, manusia akan terkapai-kapai dan lemas dengan dunia yang diibaratkan seperti lautan yang kadangkala tenang airnya dan kadangkala bergelora. Tanpa kapal yang besar dan kuat, mereka tengelam pada bila-bila masa.
Didiklah dan perbaikilah hati mereka…hati adalah Raja. Bersabda Nabi SAW yang bermaksud; “Dalam diri manusia itu ada seketul daging yg kalau baik maka baiklah seluruh diri manusia,kalau ia rosak maka rosaklah seluruh diri manusia.Ketahuilah seketul daging itu adalah hati (rumah kpd Roh)”. Jika kita hanya memberi ilmu..ilmu hanya berada di akal, dan ini belum boleh membuat seseorang itu dapat beramal kerana rajanya berada di hati. Sebab itu Rasulullah menekankan pendidikan hati untuk membaiki manusia dari jahil kpd alim. Bila hati sudah merasai ilmu yang diberi maka bermulalah raja memerintah kerajaan (anggota badan) untuk dengan perkara-perkara yang diperintahkan oleh Allah swt dan menjauhi larangan-Nya. Berapa ramai pelajar-pelajar pondok atau agama atau university aliran agama atau semua yang belajar subjek agama bila tamat belajar mereka menjadi teruk dan lebih teruk dari mereka yang langsung tidak belajar agama. Bila ditanya apakah mereka tidak belajar itu semua?maka mereka akan menjawab sudah belajar Cuma sukar diamalkan. Ilmu hanya semata-mata berada di akal namun belum jatuh lagi ke hati.
Wahai pejuang agama,Apabila hati belum makrifatullah, bagaimana agama boleh berada dalam diri?macamana hendak mengamalkan ajaran agama jika hati belum mengenali Tuhan yang memiliki agama?Syariat atau Hukum Allah swt adalah amalan agama. Melaksanakan syariat tanpa tidak mengetahui dan merasai siapa pemilik syariat adalah lambang kejahilan kita….turutilah para ulama terdahulu bagaimana system pendidikan yang telah diamalkan oleh mereka, berjaya membawa Islam ke seluruh dunia (SILA RUJUK laman web http://kembarasalik.wordpress.com/ untuk mengetahui siapa mereka dan apa yang mereka telah buat dan belajar sehingga Allah muliakan mereka sampai ke hari ini. Pendidikan hati atau nafsu perlunya seorang guru yg sudah arif dengan nafsu. InsyaAllah, Allah akan memberi pertolongan kepadamu sebagai pejuang. Hidup biarlah mulia di sisi Allah..mati biarlah syahid…amin.

Tuesday, August 11, 2009

Kata Hikmat 3



Sematkan di hatimu. Amalkan selalu. Ingat selalu:
ALLAH FIRST, ISLAM FIRST.
(Utamakan Allah, Utamakan Islam)

Monday, August 10, 2009

DOSA TIDAK KHUSYUK SOLAT




Rasa berdosa sepatutnya timbul dalam hati kita. Ada hadis yang mana kita diberitahu bahawa bahagian solat yang khusyuk diterima Allah bagai kain putih bersih manakala bahagian yang tak khusyuk umpama kain buruk yang dilempar kembali ke muka kita.


Rasa gerun dan menyesal bercampur-aduk. Maklumlah solat kita sentiasa berseling-seli antara khusyuk dan tidak. Ada waktu khusyuknya sehingga 70%. Ada ketikanya cuma khusyuk 30%. Selebihnya ialah bahagian yang tidak khusyuk. Maka apalah nasib kita dan solat kita bagi peratusan bahagian yang tidak khusyuk itu?

Kita sewajarnya merasa dukacita dan takut kepada Allah kerana di alam barzakh atau di akhirat kelak Allah akan menayangkan solat kita untuk tatapan. Tentulah Allah tunjukkan bahagian-bahagian solat yang tidak khusyuk itu. Tentulah Allah murka. Dan balasan bagi orang yang dimurkai Allah, kita tahulah sendiri. Di akhirat pula tu. Bukan boleh menyesal lagi dan nak balik ke alam dunia kerana nak baiki semula amalan solat yang rosak itu.

Kadang-kadang kita cuma rajin solat sehingga solat sunat kita buat - apa lagi solat sunat rawatib. Hati kita gembira dan tenang kerana banyak melakukan solat sunat. Tetapi petunjuk Allah datang untuk menyedarkan kita. “Teruskan dengan solat-solat sunat tetapi baiki khusyuk dalam solatmu,” bisik iman. Inilah yang Ba hendak luahkan dan mungkin dikongsi bersama oleh anak-anak.

Sunday, August 9, 2009

Shopping Raya di Kuantan.



Semalam, Sabtu 8.8.09, Ba, Umi, Farhan dan Kikat ke Kuantan untuk shopping baju raya. Mula-mula ke Kuantan Parade. Sempatlah beli beberapa helai sebelum mula berpuasa. T-shirt Abangcik saja dua helai hampir RM100.00. Kikat dengan kasut pinknya. Umi apalagi cari 2 pasang jubah. Sudah beli jubah dia, mulalah jalan sakit kaki selalu. Ba cuma beli sandal.

Kemudian singgah sekejap di Megamall. Tengok PC Fair dan videocam. Beli earphone. Kemudian pergi mengurut dekat Gintell. Sedap tapi harga dekat RM4 000.00. Itu tak penting sangat. Ba gunakan duit untuk persiapan raya dan anak-anak belajar. Jangan kurang makan. Ba masih mampu untuk hantar duit makan kalau tak cukup. Beritahu sahaja kepada Ba. Jangan boros kepada benda yang tak berguna sudah.

Masa balik, mesin bayar parking rosak, terpaksa beratur hampir 20 minit. Berpeluh. Minyak Sorento pula dua kali amaran kuning. Namun segalanya selesai dan tiba di rumah pada pukul 6.30 petang.

Ba merakamkan syukur kepada Allah kerana tiada yang lain yang menyelamatkan perjalanan pergi dan balik melainkan Allah semata-mata. Bukan kerana kita pandai memandu. Jangan kita membuang begitu sahaja jasa Allah kepada kita. Hidup mesti diteruskan dalam kerangka keimanan, kesabaran dan ketaqwaan.

Thursday, August 6, 2009

Kebahagiaan Dalam Hidup



Antara faktor kebahagiaan hidup manusia ialah keharmonian dalam keluarga. Harmoni bermaksud mesra, ceria, menyanyangi, menghormati, aman dan sihat sejahtera. Seorang ayah tidak akan bahagia jika sering bertelingkah dengan si ibu. Ibu tidak bahagia jika si anak buat masalah. Antara anak tidak bahagia kalau berdengki dan bergaduh.

Begitu juga apabila, berlaku kerenggangan hubungan apabila anak-anak lebih mengutamakan orang lain dan kawan-kawan daripada keluarga sendiri. Berada bersama keluarga dirasakan 'boring' dan berada bersama kawan dirasakan 'daring'.

Kebahagiaan juga terencat apabila orang yang disayangi sudah tiada. Tetapi ramai manusia lupa bersyukur semasa ada. Maka sebelum tiada, manfaatkanlah yang ada. Kita mencari harta adalah untuk rasa......kita mencari kerja adalah untuk rasa...... kita ingin kecantikan untuk rasa...... kita ingin miliki rumah dan kenderaan besar adalah untuk rasa......kita perlu manusia lain adalah untuk rasa....... semuanya yang kita cari, kejar, tuju dan cita-citakan adalah untuk RASA BAHAGIA.

Wednesday, August 5, 2009

Keindahan Islam tertutup dari orang-orang kafir kerana kesalahan umat Islam itu sendiri. Apabila fikrah perkauman Melayu menguasai jiwa Melayu, maka segala keputusan dilakukan atas premis keuntungan dan keistimewaan bangsa Melayu. Apabila orang Islam membela kematian seorang Cina, Teoh Beng Hock, maka golongan ini dianggap berjuang untuk orang kafir. Inilah mentaliti Melayu....segala-galanya atas dasar bangsa sehingga tidak tertegak lagi keadilan atas nama Islam.

Islam itu adil tanpa kira warna kulit hatta haiwan juga perlu diberikan hak dan keadilan. Belajarlah berjiwa Islam.Islam mengajar supaya kita sayang kepada bangsa kita tetapi Islam tidak ajar kita berlaku tidak adil atau merampas hak bukan muslim. Maka letakkan sayangkan bangsa di satu sisi. Dan letakkan pula keadilan itu pada sisi yang lebih atas.