Wednesday, December 23, 2009
HIKMAH KEJADIAN SESUATU BINATANG
Wahai pemburu cintaNya, ketahuilah bahawa pada penciptaan sesuatu binatang itu terkandung pelbagai hikmah dan pengajaran yang tergambar pada pandangan mata mahupun yang terhijab pada mata hati seseorang insan. Hari ini manusia tidak lagi memikirkan tentang hakikat daripada kewujudan sesuatu binatang itu. Mungkin kerana mereka merasakan binatang itu tidak berguna disebabkan ianya tidak berakal dan tidak akan dihisab dihari kelak, jadi tiada apapun faedah untuk difikirkan tentang sesuatu binatang itu. Sesungguhnya, kejadian sesuatu haiwan yang tidak berakal itu terkandung pelbagai hikmah untuk difikirkan oleh mereka yang dianugerahkan akal oleh Rabbi. Apa gunanya diciptakan haiwan yang tidak berakal ini kepada insan yang akan dihisab oleh tuhan?
Ramai manusia yang melihat kelebihan pada kewujudan sesuatu binatang itu pada pandangan matanya yang zahir tetapi hanya sedikit yang memikirkan tentang hakikat sebenar kewujudan haiwan itu pada pandangan mata hatinya. Tidak dinafikan, kelebihan lembu pada dagingnya, kelebihan ikan pada isinya, kelebihan helang pada kukunya yang dapat menangkap tikus dikebun, kelebihan anjing pada kegarangannya dalam menjaga harta bendanya tuannya. Walau bagaimanapun, kelebihan kewujudan semua haiwan didunia ini boleh menjadikan ianya sebagai penentu seseorang itu mendapat rahmat Allah dan kasih sayangNya dihari kelak. Ingatkah lagi kita tentang kisah seorang penzina yang dianugerahkan syurga disebabkan oleh kasihnya kepada seekor haiwan yang mughalazah. Begitulah kasih sayang seorang insan pada haiwan dengan memberi sedeguk air kepada seekor anjing yang sedang kehausan dipadang pasir. Namun, besar lagi kasih sayang Allah padanya atas sebab kasihnya pada makhluk tuhan itu sehinggakan dianugerahkan syurgaNya pada penzina itu atas sebab tindakannya itu. Lihatlah bagaimana dengan adanya sesuatu binatang itu, seseorang itu mampu memperoleh syurga dan kasih-sayangNya.
Wahai ulul albab, marilah kita sama-sama memikirkan tentang hakikat sesuatu kewujudan itu dan ambillah pengajaran daripadanya. Lihatlah pada sang kalkatu. Binatang berkenaan akan sentiasa hinggap pada tempat yang bercahaya. Ianya tidak kenal sama ada sesuatu itu cahaya yang boleh menyinarinya ataupun cahaya yang boleh memakan dirinya sendiri. Kita lihat apabila sang kalkatu dan gerombolannya singgah pada api pelita, nescaya semuanya tersungkur jatuh ke bumi. Dalam pada itu, ada juga yang masih berupaya bangun dan ianya tidak serik terhadap ancaman api pelita tersebut walaupun melihat ramai rakannya telah mati, lantas sang kalkatu itu terus menerjah sekali lagi kepada api yang memakan dirinya itu sehinggalah nyawanya ditamatkan. Sebodoh-bodoh kalkatu pun tidak mengapa kerana ianya tidak akan dibangkitkan lagi untuk dihisab Namun hari ini manusia yang akan dihisab oleh Allah ramai yang berotakkan kalkatu. Mereka tahu bahawa meninggalkan solat itu boleh membawa dirinya pada api neraka, namun hatinya masih rasa tidak bersalah apabila meninggalkan solat. Mereka tahu merokok itu membahayakan kesihatan, namun mereka masih mahukannya. Mereka tahu syurga itu penuh dengan nikmat tapi masih lagi menjauhinya. Mereka tahu bahawa neraka itu tempat yang penuh dengan azab tapi tindakannya masih kesana. Mereka tahu bahawa syaitan itu musuh, tapi masih berkawan dengannya. Inilah hakikatnya bahawa ramai jiwa yang bertubuhkan manusia tapi masih berotakkan kalkatu.
Duhai jiwa yang faqir, carilah hikmah hakikat sesuatu kewujudan itu dan ambillah pengajaran yang berguna daripadanya. Sesungguhnya ahlu-Llah itu akan menerima setiap apa yang dijadikan Allah dengan penuh hikmah agar mereka tergolong dalam kalangan ulul albab. Ingatlah akan peringatan daripada Allah dalam surah al-maidah, “ mereka ada mata tapi tidak melihat dengannya(kekuasaan Allah), mereka ada telinga tapi tidak mendengar dengannya(aya-ayat Allah), mereka ada hati tapi tidak faqih dengannya(memahami akan kebenaran), mereka itu seperti binatang bahkan lebih sesat daripada itu”.
Monday, December 21, 2009
AL-QURAN PETUNJUK SEPANJANG ZAMAN
Wahai saudaraku, hari ini kita sendiri yang menyaksikan bahawa umat islam terus leka dan sering mengabaikan mukjizat tuhan yang tuhan ciptakan untuk bekalan hamba-hambanya di akhir zaman. Pelbagai mukjizat-mukjizat yang Allah anugerahkan kepada nabi-nabi dan rasul-rasulnya untuk umat-umat terdahulu bagi meningkatkan kataqwaan umat Islam pada zaman itu. Namun, hari ini orang yang bukan Islam yang mula memanfaatkan mukjizat agung ini sebaliknya orang Islam terus menjadikan ianya sebagai hiasan rumah dan jauh sekali yang memanfaat kandungannya. Allah azza wa jalla berfirman pada ayat kedua dalam surah al-baqarah, mafhumnya, “diturunkan ini kitab(al-quran) sebagai petunjuk untuk orang-orang yang bertaqwa”. Lihat, al-quran ini hanyalah sebagai petunjuk iaitu halatuju bagi mereka yang ingin berjumpa dengan tuhannya yakni khusus untuk orang yang bertaqwa. Siapa insan yang mengaku bertaqwa kepada Allah? Dimaksudkan taqwa disini adalah orang yang takut kepada Allah yakni menurut segala perintahNya dan meninggalkan apa yang dilarangNya. Ramai orang yang mengaku takut kepada Allah sehinggakan seorang penagih dadah mampu menuturkan kata-kata takut kepada Allah walaupun dalam keadaan tangan kanannya memberi suntikan untuk tangan kirinya. Hakikatnya, orang yang benar-benar takut akan Allah adalah mereka akan sentiasa berasa tidak aman terhadap segala tindakannya kerana sering diperhatikan oleh tuannya dan akan sentiasa menjaga batas-batas kemurkaan khaliqnya itu .
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, ‘’Diakhir zaman nanti ramai orang yang membaca al-quran tetapi quran itu sendiri yang melaknat mereka”. Inilah hakikatnya, apabila umat islam sibuk membaca al-quran sahaja tetapi dalam masa yang sama lalai dengan setiap perintah tuhan didalamnya. Apakah kita merasakan diri kita terlepas dari laknat kalamullah ini? Bagaimana dengan ayat quran, “Ingatlah bahawa laknat Allah itu atas orang-orang yang berdusta”. Apakah kita tidak berdusta apabila berkata kita takut akan Allah padahal dihati kita langsung tiada tempat untuk Allah. Sejauh mana kita takut akan Allah dan sejauh mana kita takut akan makhluknya yang melata di bumi? Takutnya seseorang itu menonton filem seram sehinggakan tidak mampu tidur pada malam hari dalam keadaan keseorangan tetapi takutnya seseorang itu kepada Allah sekiranya tidak dikembalikan roh pada jasad selepas tidur tetapi masih mampu tidur dengan nyenyak sehingga tidak kedengaran seruan yang memanggil di pagi yang hening. Begitu besar pendustaan kita lakukan sedangkan kita masih merasakan ianya bukan suatu dusta pada tuhan yang Maha Mengetahui.
Wahai saudaraku yang mengidamkan syurgaNya, semailah dan didiklah hati kalian untuk takut akan Allah dengan sebenar-benar takut. Sesungguhnya tiada takut yang berhak kita takuti melainkan takut akanNya. Jadikan mukjizat yang masih kekal ini sebagai panduan dan petunjuk untuk kita meneruskan sisa hidup kita dalam mencari Redha Allah. Dunia ini bukannya tempat untuk kita beristirehat dan bukannya tempat untuk bersenang-lenang malah umur kita akan dipersoalkan semula oleh Allah kemana ia digunakan, harta kekayaan yang kita miliki akan juga akan disoal kemana ia dilaburkan. Segalanya apa yang kita miliki akan kita pertanggungjawabkan dihadapan Allah kelak. Ingatlah saudaraku, gunakanlah mukjizat ini dengan sebaiknya dengan menuruti segala ajarannya serta berakhlak dengannya sebagaimana akhlak seorang insan agung yang memegang kunci syurgaNya. Sedarlah, sesungguhnya ramai orang yang membaca al-quran tetapi hanya sedikit yang memperoleh Nur daripada bacaan ayat-ayat suci al-quran tersebut.
Monday, November 16, 2009
SILA BACA SEMULA NASIHAT BA YANG LEPAS.
BA harap semua anak baca semula tulisan BA yang lepas. Telaah dengan baik satu persatu. Fahami dan mula bertindak untuk kebaikan diri semua.
Thursday, November 12, 2009
JAUHILAH DARIPADA MEMBELA ULAR DIDALAM RUMAH
Ketahuilah bahawa segala penciptaan tuhan itu mempunyai pelbagai hikmah yang tersurat mahupun yang tersirat. Mungkin ianya buruk sekiranya dilihat daripada pandangan mata yang penuh dengan tipu daya ini tetapi yakinlah bahawa segalanya baik dalam ilmu-Nya. Allah ciptakan ular, mungkin tiada suatu makna bagi mereka buta mata hatinya tetapi ianya penuh 1001hikmah bagi mereka yang ingin melihat akan kekuasaan Allah pada ciptaannya itu. lihatlah betapa hebatnya Allah sehinggakan dapat menjadikan makhluknya yang tidak mempunyai kaki tetapi mampu bergerak lebih pantas daripada makhluknya yang mempunyai kaki. Haiwan yang kecil lagi halus itu jugalah Allah telah tunjukkan bahawa ianya mampu menelan mangsanya yang lebih besar berlipat kali ganda daripadanya. Haiwan yang mempunyai segala sifat kekurangan inilah yang digeruni oleh mereka yang penuh dengan kelebihan.
Pada diri kalian juga penuh dengan nafsu ammarah yang senantiasa memainkan peranannya untuk meruntuhkan iman kalian. Nafsu yang dilihat pada pandangan mata yang zahir sebagai penuh kelemahan tetapi bisanya mampu menghilangkan segala kelebihan iman yang ada pada diri kalian. Nafsu yang hanya berupa keinginan ini mampu memadamkan cahaya keimanan dalam hati setiap insan yang menurutinya. Akibat nafsu ini jugalah manusia sanggup melanggar batas-batas larangan Allah tanpa rasa bersalah . nafsu yang hanya berupa keinginan inilah yang sangat digeruni oleh mereka hatinya takut pada Allah. Segala tindakannya akan dinilai, adakah tindakannya itu atas dasar keimanan ataupun atas pilihan nafsunya yang sering memujuk tuannya itu. Akibat menuruti nafsu ini jugalah manusia itu terhijab daripada mendapat kasih sayang Allah yang diidam-idamkan.
Oleh itu, janganlah kalian memandang sebelah mata akan nafsu yang semakin membarah dalam hati kalian tanpa disedari. Didiklah nafsu kalian agar menjadi nafsu mutmainah yakni jiwa yang tenang untuk kembali kepada tuhanmu di alam baqa'.
Wahai para salik, “janganlah kamu menuruti hawa nafsumu, bersikap qanaahlah dengan apa yang diberikan oleh khaliqmu. Ketahuilah bahawa orang yang menuruti hawa nafsunya itu ibarat mereka yang MEMBELA ULAR DI DALAM RUMAHNYA dengan memberi makan padanya setiap hari sehinggakan apabila ular itu besar, ia akan memakan tuannya pula”.
Tuesday, November 10, 2009
DERHAKA ADALAH DOSA BESAR
Anak-anak yang diberkati Allah,
Kalian hanya mempunyai seorang ibu dan seorang ayah. Tiada dua dan tiada tiga. Itulah satu-satunya ibu yang mengandung kalian. Itulah satu-satunya ayah yang membesarkan kalian. Sekiranya mereka sudah tiada, maka tiadalah ganti yang sama seperti mereka. Orang lain boleh memberi kasih sayang. Orang lain boleh memberi makan. Tetapi orang lain tidak boleh mengalirkan darah yang sama ke dalam tubuh kalian. Dan yang lebih utama ialah taraf keibubapaan yang Allah berikan hanya kepada ibu dan bapa kandungmu.
Jangan sekali-kali bercakap keras dan memalingkan muka dari mereka. Apalagi membantah dan mengherdik mereka. Semakin tua usia mereka, semakin mudah terhiris hati mereka. Hargailah ibu dan bapa selagi mereka masih ada. Memandang wajah ibu dan bapa dengan penuh hormat dan kasih sayang adalah ibadat. Apalagi kalian mengembirakan hati mereka dengan sikap ramah, pemurah, ringan tulang dan mengikut nasihat-nasihat yang baik daripada mereka. Alangkah bahagianya hati kedua ibu bapa. Kata orang; sejuk perut ibu mengandung, sejuk mata ayah memandang.
Anak-anak yang dikasihi sekalian,
Hendaklah kalian menjadi anak-anak yang soleh dan solehah; yang sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu dan ayah. Janganlah sekali-kali kalian menderhakai mereka baik dengan ucapan, perbuatan dan kerlingan mata. Anak yang baik tidak akan menghantar ibu dan bapanya menghabiskan masa-masa tua di rumah-rumah kebajikan. Anak-anak yang beriman tidak akan saling menolak dari menjaga mereka ketika mereka tua. Anak-anak yang mulia tidak akan jijik untuk mengangkat hadas untuk mereka. Anak-anak yang menjadi penyejuk mata hati akan berebut-rebut untuk berbakti kepada mereka. Jika ayah yang mati dahulu, berbaktilah kepada ibumu yang kesunyian tidak berteman. dan sekiranya ibumu yang pergi dulu, berbaktilah kepada ayahmu yang kehilangan.
Anak-anak remaja yang dikasihi,
Ketika usia kalian semakin meningkat, usia mereka juga semakin meningkat. Meningkatnya usia kalian memberi makna bertambahnya cabang dan ranting kehidupan. Tetapi bertambahnya usia mereka bermakna panggilan pusara semakin terngiang-ngiang di telinga mereka. Dalam keadaan anak-anakku sibuk menguruskan kehidupan dan merealisasikan harapan, mereka senyap-senyap menyahut panggilan dari Tuhan. Maka selagi mereka masih bernafas, rebutlah peluang untuk berbuat baik kepada mereka. Dan apabila ibu bapa telah meninggalkan kita, pintu untuk berbuat baik kepada mereka tidak pernah tertutup bagi anak yang soleh. Kalian boleh berdoa untuk mereka sepanjang masa. Semoga mereka damai di alam barzakh berkat doa-doa kalian.
Wednesday, November 4, 2009
HAJI.......BILA TIBA MASANYA NANTI.
Puteri-puteri yang dikasihi sekalian,
Apa yang ingin dibicarakan dalam tulisan ini mungkin masih jauh masanya daripada usia remaja kini. Namun, sebagai pesanan yang berbentuk peringatan, tidak salah dipesankan untuk anak-anak kerana masa akan tiba suatu hari nanti. BA melihat betapa ramai umat Islam di negara kita melengah-lengahkan kefardhuan mengerjakan haji setelah cukup syarat-syaratnya.
Ada di kalangan umat Islam yang telah mampu dari segi kesihatan dan harta benda masih menunggu usia pencen untuk menjejak kaki ke tanah suci. Bukan mereka tidak mampu sebenarnya. Sebaliknya mereka mencipta ketidakmampuan yang palsu. Selepas mereka memiliki rumah dan kereta, wang yang ada digunakan pula untuk menambah kereta atau menukar kereta baru atau membesarkan rumah. Kalau dijumlahkan semua harta yang mewah tadi, seseorang itu sudah jauh lebih mampu untuk mengerjakan fardu haji. Apabila sudah cukup syarat-syaratnya, berdosalah kita sekiranya melengah-lengahkan kefarduan ini. Bagaimana nanti sekiranya kita tiba-tiba mati sebelum sempat melakukannya sedangkan kita telah mampu? Tidakkah kita dikira berdosa? Mampukah kita menjawab di hadapan Allah dengan alas an yang kita cipta di dunia? Dan mampukah kita berhadapan dengan seksa Allah?
Putera-puteriku sekalian,
Sebenarnya BA bimbang sekiranya kalian termasuk dalam golongan yang lalai. Kelalaian itu telah berjenama dalam bangsa kita walaupun di dua tanah suci Mekah dan Madinah bangsa kitalah yang dipuji kerana disiplin dan akhlaknya. Tetapi dari segi budaya melengah-lengahkan ibadat haji hanya Allah Ta’ala sahajalah yang tahu. Wahai anak-anakku, keluarlah dari budaya buruk yang kita tidak mampu menjawabnya di hadapan Allah kelak. Kerjakanlah ibadat haji ketika muda, badan masih segar dan perkasa. Jangan tunggu pencen baru mahu ke tanah suci. Ketika itu badan mungkin ada keuzuran, tenaga mungkin tidak selincah zaman muda lagi. Lagipun umur belum tentu panjang seperti yang diharapkan. Ingatlah wahai putera-puteriku agar kalian menjadi orang yang tidak menyesal di hadapan Allah Rabul-Jalil.
Tuesday, November 3, 2009
JANGAN TERLENA DENGAN RASA TAKUT DAN TIDAK YAKIN DIRI
Anak-anak yang dirahmati Allah sekalian,
Antara penyakit yang menghalang kemajuan dan ketrampilan diri seseorang ialah perasaan takut mecuba dan perasaan tidak yakin pada kebolehan diri sendiri. Penyakit ini kelihatan kecil tetapi tidak kecil sebenarnya bagi seseorang yang ingin berjaya dalam kehidupannya. Penyakit ini mampu menyekat dan membataskan kemajuan dan kejayaan seseorang. Bayangkan seseorang gagal menyuarakan pendapatnya dalam khalayak ramai hanya kerana takut dan tidak yakin akan kemampuannya berhujah dengan bernas. Itu hanyalah satu contoh. Satu contoh lagi kita ambil kemajuan perniagaan seseorang yang terbantut kerana takut mencuba bidang baru yang lebih mencabar dan tidak yakin akan kemampuan dirinya untuk berjaya mengharungi cabaran itu. Begitulah juga dalam aspek-aspek kehidupan lain wahai anak-anakku; kalian akan maklumi sendiri senario pada diri sendiri.
Anak-anakku sekalian,
Kalian semakin besar, matang dan dewasa. Kalian akan berhadapan dengan tugas, tanggungjawab dan kerjaya. Setiap detik yang ditempuhi memerlukan komitmen dan ketrampilan demi merealisasikan cita-cita dan hasrat yang diidamkan. Anak-anakku ada tanggungjawab pada diri, keluarga, masyarakat, negara dan agama. Bagaimanakah anak-anakku dapat mengoptimumkan kejayaan dan kecemerlangan dalam gerakerja sekiranya rasa takut dan tidak yakin diri menguasai diri?
Kadang-kadang kita perlu mengkaji faktor-faktor yang menumbuhkan perasaan takut dan tidak yakin diri. Adakah perasaan malu dan kekurangan kebolehan dan ilmu membelit diri kita? Bagaimanakah kita hendak merungkai belitan-belitan dan halangan-halangan ini? Sejauh manakah kita dapat membezakan antara malu hendak melakukan dosa dan maksiat dengan malu untuk melakukan perkara-perkara yang positif dalam masyarakat? Persoalan-persoalan inilah yang perlu kalian fikirkan agar kalian dapat menyingkirkan perasaan negatif yang menguasai diri kita.
Anak-anak yang dikasihi sekalian,
Percayalah bahawa sifat berani dan yakin diri penting dalam kehidupan kita. Proses menuju kecemerlangan hidup akan terbantut apabila malu tidak bertempat dan perasaan tidak yakin diri berjenama pada diri. Sebagai ibu bapa yang ingin melihat anak-anaknya berjaya dan berguna untuk agama dan masyarakat, sudah pasti motivasi yang berguna dibekalkan untuk difikirkan dan diamalkan. Semoga anak-anakku menjadi orang yang berjaya memimpin masyarakat dengan ilmu dan iman pada suatu hari nanti.
Sunday, November 1, 2009
ASPEK TERPINGGIR DALAM MENUNTUT ILMU
Anak-anak yang terdidik sekalian,
Hadis Nabi s.a.w. yang amat popular ialah tentang kepentingan menuntut ilmu. Surah al-‘Alaq juga mewajibkan kita menuntut ilmu. Maka tuntutlah ilmu wahai anak-anakku semua.
Pertama, keutamaan ilmu yang perlu dituntut ialah ilmu fardhu ain yang terdiri dari fekah, usuludin dan tasawuf. Kemudian ilmu yang menjadi fardhu kifayah. Tuntutlah ilmu fekah agar ibadat kalian sempurna sah dan batalnya. Tuntutlah ilmu usuludin agar kalian mengenali Tuhan yang ditujukan segala ibadat. Tuntulah ilmu tasawuf agar ibadat kita diterima Allah dan tidak terbatal pahalanya. Ini bermakna anak-anakku kena belajar semua ilmu tersebut untuk kesempurnaan amal.
Sekali lagi, BA berpesan iaitu dunia dikelek, akhirat dijunjung. Junjunglah ilu agama dengan cara memberi keutamaan dalam mempelajarinya. Keutamaan hendaklah diberi dari segi matlamat dan jumlah masa mempelajarinya. Manakala ilmu fardhu kifayah hendaklah mengikutinya. Janganlah jadi seperti kesilapan umum di mana manusia sanggup mengorbankan masa sehariannya untuk pelajaran ilmu akademik dengan matlamat mendapat sijil dan ijazah. Andaiannya ialah apabila ada sijil dan ijazah mudahlah untuk mendapat kerja. Kata orang senanglah masa depan. Salah tu, sebenarnya senanglah hidup masa depan. Mati?
Sedarilah bahawa kesenangan itu akan tergantung di pintu pagar sebaik sahaja jenazah kita dibawa ke kubur. Namun oleh sebab kita manusia yang hidup maka kita memerlukan kesenangan itu demi kelangsungan hidup. Apabila disebut masa depan wahai anak-anakku, kita mesti melihat masa dari hari ini hingga alam akhirat di sana, barulah betul pandangan tentang masa depan kita.
Anak-anak sekalian,
Setelah kita tahu tentang agihan masa untuk mempelajari ilmu, kita perlu sedari bahawa ilmu agama boleh dituntut melalui kuliah agama di surau dan masjid, ceramah-ceramah agama, menelaah kitab, mengamati kolum dan slot agama melalui media cetak dan media elektronik. Masalahnya ialah kita malas untuk mempelajari ilmu fardhu ain kerana surau dan masjid tidak mengeluarkan sijil dan ijazah. Kalau ada sijil pun, majikan tidak mewajibkan kelulusan agama untuk diambil bekerja. Dunia yang sekular, begitulah perangainya wahai anak-anakku sekalian. Namun kita jangan terikut-ikut dengan cara sekular tersebut.
Sebagai orang yang memahami Islam, kita mestilah bergerak dan bertindak atas kapasiti agama. Abaikan kehendak-kehendak yang tidak berpijak atas landasan agama. Kita mesti mempelajari dan mengutamakan ilmu fardhu ain sehingga mantap. Kalau ditakdirkan kita menjadi ahli golongan professional; biarlah kita menjadi professional yang berkemampuan sebagai ulama’. Ikutilah ketokohan Imam Hassan al-Banna umpamanya. Benar anak-anakku, manusia tidak memberi kita ijazah kalau kita mengikuti kuliah agama di surau dan masjid. Tetapi yang ‘mengijazahkan’ kita ialah Allah s.w.t. sekiranya kita menuntut agama dengan ikhlas dan ingin mencari keredhaan-Nya.
Kesimpulannya, anak-anakku hendaklah memahami dengan benar tentang ilmu yang wajib dituntut. Ilmu agamalah yang menjadi bekalan untuk kesenangan di dunia dan di akhirat. Inilah yang diremehkan dan diabaikan oleh kebanyakan manusia. Kalian jangan!
Thursday, October 29, 2009
KHAUF KEPADA ALLAH KUNCI KE SYURGA
Khauf adalah perkataan daripada bahasa arab yang bermaksud takut. Rasa takut kepada Allah adalah suatu nikmat besar yang diingini oleh muslim sejati. Tidak timbul rasa takut mahupun gelisah dalam hati kita apabila kita melakukan maksiat kepada Allah. Hidup kita didunia ini seolah-olah kita seorang yang maksum yakni suci daripada dosa. Betapa kejinya kita apabila kita mampu mengeluarkan air mata apabila ketakutan terhadap ancaman sesuatu makhluk malangnya tidak berupaya menitiskan air mata walau setitis atas dasar takutkan ancaman Allah di hari kelak terhadap dosa yang kita lakukan hari ini. Sedangkan tiada suatu nilaipun air mata kita terhadap makhluknya. Walau selautan air mata menangis kerana takut pada ancaman makhluknya, ianya langsung tidak dapat menghalang takdir Allah yang telah ditetapkan sejak azali lagi. Jika Allah telah tetapkan diri kita untuk dizalimi oleh makhluknya, ia tetap berlaku walau kita bersujud menangis didepan makhluknya itu. Tetapi ketahuilah betapa tingginya nilai air mata kita kepada Allah Taala sekiranya menangis kerana takutkan-Nya, sehinggakan satu titisan yang mengalir keluar dari mata keinsafan mampu memadamkan api neraka-Nya. Tak tergambar betapa sayangnya Allah Taala terhadap hambanya walau setinggi gunung dosa yang dibawa mengadapnya, mampu diampunkan disebabkan setitis air mata hambanya jatuh ke bumi.
Duhai jiwa yang berdosa, rebutlah kalian mendapatkan cintaNya yang satu sabelum menjelma murkaNya yang seribu. Tiada cinta setulus cintaNya. Sekiranya peroleh cintaNya itu pada jiwa kalian, ianya suatu jaminan besar kebahagian seseorang didunia dan diakhirat nanti. Hentilah air mata kalian kerana makhluk, siramilah bumi ini dengan air mata keinsafan seorang hamba. Bertaubatlah kalian terhadap dosa yang lalu. Didiklah hati takut kepadaNya, didiklah mata menangis untukNya. Janganlah merasakan dirimu selamat dari murkaNya dengan amal ibadahmu yang sedikit itu. Bertaubatlah dan beristirgfarlah setiap hari mengenangkan dosamu yang belum tentu mendapat keampunan Allah. Sedangkan Rasulullah kekasih Allah yang maksum, setiap hari 100kali taubatnya kepada Allah. Sesungguhnya taubat yang sebenar-benar taubat menjadikan kita bagai bayi yang baru lahir yakni suci dari dosa yang telah dilakukan.
Demi Allah yang Esa…
Sesungguhnya tidak disediakan jalan yang mudah untuk menuju cintaMu…
Menitis air mata tak kala merasa semakin jauh dariMu…
Tapi janji Allah tetap segar dan mekar tanpa pengkhianatan,
Keranaku tetap yakin Allah mengatakan: “wajiblah cintaKu pada orang-orang yang berkasih sayang padaKu...”. –asSyahid Hassan alBanna-
PERISAI MENGHARUNGI ZAMAN REMAJA
Percayalah anak-anakku sekalian bahawa kalian akan selamat mengharungi zaman remaja yang mencabar ini sekiranya kesilapan kalian tidak melampau. Dan kesilapan itu tidak akan menjadi terlampau dengan syarat kalian menghargai yang satu iaitu SOLAT YANG SEMPURNA. Jangan ditinggalkan solat 5 waktu. Lakukanlah dengan istiqamah. Lakukanlah dengan sempurna syarat sah dan rukunnya. Jaga khusyuknya. Pelajari hukum-hakamnya. Laksanakan solat yang terbaik. Solatlah yang akan menjadi perisai yang akan menjaga kalian dari keterlanjuran. Solatlah yang akan membentuk iman dan jatidiri kalian. Solatlah yang akan membawa kalian keluar dari kecelaruan zaman remaja ke zaman dewasa yang lebih terurus dan bertanggungjawab. Solatlah yang akan menukar imej kalian di suatu hari nanti apabila kalian sudah semakin matang. Anak-anak remajaku akan berdiri gagah dan megah serta meraih penghormatan dari masyarakat. Percayalah pada masa depan yang indah sekiranya kalian menjaga dan melaksanakan solat yang sempurna.
Anak-anak yang dikasihi sekalian,
BA dan UMI sentiasa berdoa agar Along, Abang Ngah, Adik Wan, Abang Cik dan Kikat menjadi anak-anak yang menjadi penyejuk mata hati. Anak yang menjadi penyejuk mata hati ialah anak-anak baik akhlaknya, soleh amalnya, tingginya ilmu dan kelulusannya dan berjaya hidupnya di dunia sampai akhirat. BA dan UMI yakin selagi kalian jaga solat 5 waktu (tanpa disuruh), betul bacaan dan khusyuk dan dilakukan dengan terbaik, insya-Allah sinar kebahagiaan menanti kalian sama ada BA dan UMI masih hidup atau telah bersemadi.
Monday, October 26, 2009
KITA HARUS HAIRAN DENGAN KEBERATAN MULUT KITA.
Putera-puteri yang dikasihi sekalian,
Sedarilah bawa mulut kita yang merangkumi bibir, lidah dan gigi adalah antara anggota yang paling ringan berbanding dengan kaki, tangan dan kepala. Gerakannya pula melibatkan otot-otot yang amat kecil dan pergerakan yang ringan. Perhatikan semasa kita bercakap; sejauh mana gerakan lidah dan dua bibir. Berapa peratuskah tenaga yang digunakan untuk menggerakkannya. Malah sekiranya kita berkata-kata dengan perlahan, orang yang berada di sekeliling kita pun tidak menyedarinya.
Ketahui oleh anak-anakku sekalian bahawa antara fungsi mulut yang paling utama ialah berzikrullah. Tetapi sayangnya kita malas pula menggunakan mulut untuk melafazkan ayat-ayat yang mulia itu, sedangkan kita boleh bercakap berjam-jam tanpa henti untuk hal-hal yang tidak berfaedah. Dari mula bangun tidur hingga ke saat mata terlelap, banyak mana lidah digunakan untuk hal-hal keduniaan dan banyak mana pula lidah digunakan untuk memuji dan memuja Allah, Tuhan yang kita akan hadapi di Padang Mahsyar kelak?
Ketika duduk keseorangan sama ada ketika memandu, bersiar-siar dan berehat, kita lebih suka berdiam dan memberi rehat kepada lidah kita. Kononnya pada waktu-waktu lain lidah kita sudah banyak bekerja dan berkomunikasi dengan manusia lain. Habis, bilakah kita nak bersibuk-sibuk dengan Allah melalui lidah kita yang ringan itu?
Contohnya, cuba analisis kata-kata “lailaha illaLah” pada lidahmu. Huruf-hurufnya terdiri daripada huruf-huruf hijaiyah yang ringan sebutannya. Antaranya, huruf ‘alif’, ‘lam’ dan ‘ha’. Apabila kita melafazkannya secara perlahan, bibir tidak bergerak pun. Yang bergerak hanyalah hujung lidah. Ini bermakna apabila kita bertahlil di kalangan orang ramai pun, mereka tidak akan sedar bahawa kita sedang berzikir. Tiada peluang riak langsung. Hanya kita dengan Allah sahaja meskipun orang lain berada di sekeliling kita. Fikirkan bagaimana Allah telah aturkan satu kalimah suci yang mudah untuk hamba-Nya melazimkan pada lidah-lidah mereka. Tetapi sejauh mana manusia berfikirkan tentang ini.
Anak-anakku sekalian,
Pesanku; lazimkanlah lidahmu dengan zikrullah. Basahi lidah sentiasa dengan lafaz-lafaz suci dan mulia yang mengundang kasih sayang dan keampunan dari Allah. Jangan bazirkan nasihat dan wasiat yang amat berguna ini.
Saturday, October 17, 2009
IMEJ KITA TERLETAK PADA SIKAP KITA TERHADAP KEBERSIHAN.
Anak-anak yang semakin meningkat dewasa sekalian,
Islam adalah agama yang syumul. Dari hal-hal kenegaraan dan pemerintahan sampailah kepada hal-hal bersuci semuanya terangkum dalam ajaran agama kita. Sayangnya hal-hal berkaitan menjaga kebersihan dan kesihatan dipandang remeh dan seolah-olah tidak berkait dengan agama. Bukankah menjaga kebersihan itu sebahagian daripada iman sebagai maksud hadis Nabi s.a.w?
Mari tentukan sikap dan persepsi kita dalam dua situasi yang kontras. Satu pemandangan bilik tidur yang kondusif. Pakaian, , perabut, buku-buku dan hiasannya teratur, bersih dan cantik. Satu lagi pemandangan di bilik tidur yang berselerak. Pakaiannya bersepah, buku tidak tersusun dan penuh dengan sampah sarap. Apakah persepsi kita? Bagaimanakah sekiranya bilik tidur kitalah yang bersepah itu?
Bilik tidur kita boleh menggambarkan sikap kita terhadap kebersihan. Bilik tidur yang kotor menggambarkan sikap pengotor pemiliknya. Sikap pengotor akan terbawa kepada mindanya. Fikiran menjadi tidak ceria dan berserabut.
Kebersihan ada pautannya kepada kesihatan. Kebersihan menatijahkan kesihatan kerana terbebasnya dari serangan kuman. Kekotoran mengundang pelbagai kuman dan penyakit. Badan yang berpenyakit adalah badan yang tidak sihat, lemah dan biologi bermasalah. Kita terpaksa pula menghabiskan wang untuk membeli pelbagai ubat dan keperluan rawatan. yang kroniknya ialah apabila sakit mengganggu ibadat kita. Elok-elok boleh beribadat dengan baik, terpaksa ‘cuti’.
Kesimpulannya, untuk menjadi insan yang segar fizikalnya, ceria raut wajahnya dan hebat mindanya, kita hendaklah menitikberatkan kebersihan dan kesihatan. Selebihnya ialah kita perlu menilai juga persepsi orang lain terhadap kita. Kebersihan membawa penghormatan manakala kekotoran membawa cemuhan.
Thursday, October 15, 2009
Mengapakah Perlu Berterima kasih Kepada Guru?
Putera-puteri sekalian,
Kejayaan kita ketika dewasa nanti bukan datang begitu sahaja. Kejayaan itu melalui satu proses yang panjang. Proses itu telah diambil peranannya oleh salah satu pihak yang mungkin kita tidak temui lagi pada waktu dewasa kita. Mereka ialah guru-guru kita. Guru-guru yang dimaksudkan ialah guru-guru sekolah, guru-guru Quran dan guru-guru kelas fardhu ain. Malah sesiapa sahaja yang pernah mengajar dan mendidik kita, adalah guru kita yang pernah mencurahkan jasanya kepada kita.
Dalam proses menitiskan ilmu, guru telah berusaha keras untuk melihat kita berjaya dan menjadi manusia yang berguna suatu hari nanti. Mereka mendidik dan menjaga kita di sekolah seperti anak mereka sendiri. Mereka menyambut kejayaan kita dalam peperiksaan seperti kejayaan anak-anak mereka sendiri. Yang anehnya, mereka tak akan dapat sesuatu dari kita.
Berjayanya seorang anak akan memanfaatkan ibu bapa. Ibu bapa mungkin dibantu apabila semakin tua. Hadiah akan dihulurkan dari semasa ke semasa. Sebahagian pendapatan kita mungkin digunakan untuk menampung keperluan ibu bapa yang kesempitan. Tetapi guru-guru kita tidak akan mendapat apa-apa. Malah kita pun tidak akan tahu di mana mereka berada pada masa itu. Entah mereka masih hidup, menderita sakit atau telah lama meninggalkan dunia yang fana’ ini. Yang mereka dapat ialah sekadar ucapan terima kasih ketika kita masih bersekolah dulu. Itu pun kalau kita tidak loket untuk mengucapkan terima kasih.
Putera-puteri yang dikasihi,
Mungkin ada kesilapan guru-guru kita dalam mendidik kita. Mungkin kita pernah malu dan tercabar dengan tindakan mereka. Tetapi semua itu apalah nilaiannya jika hendak dibandingkan dengan kejayaan kita. Mereka secara kolektif telah menghadiahkan kebahagiaan kepada kita yang akan kita rasai sehingga akhir hayat kita. Malah ilmu khususnya ilmu agama akan menyelamatkan kita di akhirat kelak. Alangkah besarnya jasa mereka itu berbanding kesilapan mereka yang sedikit. Justeru itu, maafkanlah mereka jika mereka tersilap dan berdoalah untuk mereka.
Ingatlah bahawa kita pernah memohon restu mereka sebelum menghadapi peperiksaan. Mereka telah merestui kita tanpa pilih kasih. Apabila kita telah dewasa dan berjaya nanti, apakah sikap dan pengorbanan kita untuk mereka? Tidak mampukah kita menghadiahkan kepada mereka doa dan alfatehah sekurang-kurangnya? Fikir-fikirkan.
Wednesday, October 14, 2009
URUSKAN MASA DENGAN BAIK
Anak-anak yang semakin matang dan dewasa,
Antara kelemahan utama bangsa kita ialah gagal menepati masa. Kalau mesyuarat atau majlis pukul 9.00 pagi, maka orang datang pukul 9.30 pagi. Kalau usrah patut bermula pada pukul 9.00 malam, maka pukul 9.30 malam baru boleh bermula. Begitulah juga dalam segala aktiviti dan program hidup bangsa kita. Inilah salah satu aspek kelemahan dalam pengurusan masa.
Masa hendaklah diurus dengan baik. Bukan sahaja kita mesti menepati masa malah mengatur masa kita dalam kehidupan harian dengan sempurna. Pengurusan masa harian yang sempurna bermula dengan bangun awal pagi untuk solat Subuh dan berakhir dengan mula tidur antara pukul 11.00 hingga 12.00 malam agar cukup tidur untuk bangun keesokannya untuk solat Subuh.
Antara Subuh dan waktu tidur malam itu, sewajarnya disusun dengan aktiviti, program dan rutin yang bermanfaat sesuai dengan masanya. Masa umpama kertas lukisan. Pada kertas itulah kita mengatur warna dan corak yang sesuai agar lukisan yang terhasil indah dan berkualiti. Masa yang dibazirkan umpama kertas lukisan yang ada ruang-ruang yang tidak diwarnakan. Lukisan ini boleh dianggap tidak sempurna atau gagal disiapkan. Manakala masa yang diisikan dengan aktiviti negatif dan pengurusan masa yang tidak teratur umpama lukisan yang berkecamuk, salah warna dan comot.
Along, Abang Ngah, Iwan, Abang Cik dan Kikat mesti ambil berat tentang pengurusan masa ini. Belajarlah menepati masa walaupun bangsa kita terus meremehkannya. Gagal menepati masa samalah gagal menepati janji. Mungkir masa = mungkir janji. Munafik namanya. Muslim yang baik adalah muslim yang tahu menguruskan masa dan menepatinya. Insya-Allah, masa depan dan kehidupan menjadi baik bagi orang yang pandai menguruskan masa.
Monday, October 12, 2009
JAGA HUBUNGAN ADIK-BERADIK
Putera-puteriku sekalian,
Konsep ‘yang tua dihormati, yang muda dikasihi’ perlu diamalkan untuk mewujudkan keharmonian dalam hidup bermasyarakat. Dalam sesebuah keluarga khususnya di kalangan adik-beradik, konsep ini amat penting untuk kemesraan dan kesejahteraan bersama.
Abang dan kakak mestilah mempunyai perasaan sayang dan kasih kepada adik. Kasih akan melahirkan rasa ingin membimbing, ingin lihat ceria, selamat, sejahtera, memaafkan dan bertolak-ansur dengan adik-adik. Abang dan kakak hendaklah memainkan peranan dan tanggungjawab ini. Sebagai abang dan kakak yang bertanggungjawab dan penyayang, sewajarnya sentiasa memantau kelakuan adik-adik , menasihati mereka, membimbing mereka, membantu menyelesaikan masalah mereka, mengambil berat sakit mereka dan sebagainya.
Yang menjadi adik pula mesti ada rasa hormat dan berlaku hormat kepada abang dan kakak. Jangan menyakitkan hati mereka, jangan berlaku tidak sopan, dengar dan patuh nasihat mereka, memaafkan kesilapan mereka, bertolak-ansur dengan mereka dan sebagainya. Adik hendaklah menjadikan abang dan kakak sebagai pengganti atau wakil ibu dan ayah dalam hubungan dengan mereka.
Semakin kita meningkat matang dan dewasa maka semakin perlu konsep ini diamalkan. Apabila besar, kita sudah pandai berkecil hati, dengki, marah, bosan dan sebagainya. Tanpa mengamalkan konsep di atas, sudah pasti berlaku kekeruhan dalam hubungan adik-beradik. Ada dengki dan kelahi kerana harta, rasa diketepikan dan berat sebelah oleh ibu bapa, rasa rendah diri dan dengki atas kelebihan abang atau adik dan sebagainya.
Apabila adanya konsep ini dalam diri masing-masing sudah pasti timbul rasa mengalah, memaafkan, redha, mesra dan bertimbang rasa dalam kalangan adik-beradik. Maka wujudlah hubungan adik-beradik yang mesra, erat, bantu-membantu , penuh hormat dan kasih sayang sehingga ke usia tua. Dengan izin Allah, ini menjamin kesejahteraan dan kemesraan yang diredhai Allah.
Along, Abang Ngah, Adik Wan, Abang Cik dan Kikat mesti ambil berat perkara. Ba dan Umi akan serabut dan tidak sejahtera sekiranya adik-beradik bergaduh, dengki, bermasam muka, tidak mesra dan bawa hal masing-masing. Hubungan adik-beradik yang baik adalah sesuatu yang menyejukkan hati ibu bapa dan begitulah pula sebaliknya.
Friday, October 9, 2009
BERBAKTILAH UNTUK IBU BAPA DI ALAM BARZAKH.
Putera-puteriku sekalian,
Kadang-kadang semasa hidup kita tidak dapat berbakti kepada ibu bapa. Ini mungkin kerana kita lalai, belum matang dan tidak mampu. Namun, kita masih berpeluang untuk berbakti kepada ibu bapa kita selepas ibu bapa kita berada di alam barzakh. Ketika inilah ibu bapa kita sangat mengharapkan pertolongan dan sumbangan kita. Bukankah apabila matinya seseorang itu, maka sesuatu itu tidak berguna lagi kecuali doa anak yang soleh. Mengikut pendapat ulama, sedekah, zikir dan amalah soleh yang diniatkan untuk disedekahkah kepada si mati akan sampai kepadanya lebih-lebih lagi ibu bapanya.
Putera-puteri yang dikasihi,
Kita tidak perlu menyesal sekiranya kita tidak sempat berbakti kepada ibu bapa kita semasa mereka masih hidup. Penyesalan adalah sesuatu yang tidak berguna melainkan dengannya terbentuk keazaman untuk melakukan kebaikan yang tertinggal dulu. Itupun sekiranya keazaman itu diterjemahkan sebagai satu amalan yang penuh istiqamah selagi nyawa dikandung badan.
Ketahuilah oleh Along, Abang Ngah, Adik Wan, Abang Cik dan Kikat bahawa doa, zikir dan sedekah yang dihadiahkan untuk ibu bapa yang telah berada di alam barzakh itulah lebih diharapkan oleh BA dan UMI dan itulah sumbangan yang paling mahal harganya untuk ibu bapa kita. Kalau pemberian dan bakti kita semasa ibu bapa masih hidup dapat mengembirakan hati mereka, sebaliknya doa, zikir dan sedekah kita ketika ibu bapa berada di alam barzakh dapat menyejukkan kubur dan memberikan keselesaan serta kelepasan dari azabnya.
Kesimpulannya, anak-anak jangan lalai lagi selepas ibu bapa meninggalkan kita. Ziarahilah kuburnya, berdoa, bersedekah dan berzikirlah untuk mereka selagi nyawa kita dikandung badan. Barulah kita menjadi anak yang soleh yang mendoakan mereka agar selamat di alam barzakh dan di Padang Mahsyar.
Wednesday, October 7, 2009
SYARAT ASAS UNTUK MENCAPAI KEBAHAGIAAN.
Putera-puteri yang dikasihi sekalian,
Kebahagiaan adalah mutiara penting yang dicari oleh setiap manusia secara sedar atau tidak. Mahu kaya, agar bahagia. Mahu pandai, agar bahagia. Mahu cantik atau kacak agar bahagia. Mahu disenangi oleh orang, agar bahagia. Mahu sihat, agar bahagia.
Bahagia tidak makna satu sen pun kalau nokhtahnya hanya di dunia. Habis nyawa, carilah sakitnya. Maka kebahagiaan yang dicari dan diusahakan MESTILAH menjangkau akhirat yang kekal abadi.
Untuk itu, Along, Abang Ngah, Adik Wan, Abang Cik dan Kikat mesti mengamalkan asas-asas berikut:-
1. Jaga solat 5 waktu.
Solat pada awal waktu, khusyuk, betul bacaan dan syarat sahnya dan jangan sesekali
tinggal solat atas sebab apapun termasuk sibuk, sakit, letih dan sebagainya.
2. Jadikanlah diri hamba Allah yang beriman dan bertaqwa.
Sentiasalah berada pada iman dan akidah yang benar serta melakukan amalan soleh
dengan tekun dan taqwa.
3. Jangan merokok,menelan atau mendekati benda yang
mengkhayalkan serta terlibat
dalam gejala sosial yang lain.
Punca hisap dadah dari merokok. Merokok saja pun sudah membazir duit dan
menjejaskan kesihatan. Bayangkan perokok tegar menghabiskan RM300.00 sebulan
untuk rokok sahaja. Duit tu kalau dikumpulkan boleh beli benda yang bermanfaat.
Apalagi kalau terjerumus dalam penagihan dadah atau minuman terlarang. Rosak
hidup dan tiada jalan pulang. Na'uzubillah. Jangan terjebak dalam pergaulan
bebas, penzinaan dan dosa-dosa besar yang lain.
4. Jangan banyak tidur dan tidur lama.
Tidur yang banyak dan lama mengganggu ibadat khususnya solat (terutamanya Subuh).
Tidur itu juga menyebabkan berlaku masalah disiplin kerana mungkin tidak hadir
kelas dan lewat ke tempat kerja. Ada pekerja dan pelajar yang dikenakan tindakan
disiplin kerana lewat dan tidak hadir bekerja. Jaga baik bab tidur ini.
Anak-anak yang dikasihi sekalian,
Insya-Allah, jika asas-asas kebahagiaan tadi diikuti sebagai nasihat dari BA, semuanya apabila sudah matang dan besar nanti akan menjadi anak-anak yang selamat, bahagia, berjaya dan terurus hidupnya. Selamat mengharungi cabaran hidup remaja bermakna cahaya kebahagiaan menanti kita.
Sunday, October 4, 2009
APAKAH YANG PENTING APABILA MENGINGATI KEMATIAN?
Wahai anak-anak yang dikasihi sekalian,
Apabila kita mengingati mati, maka hati kita akan terus hidup kerana mengingati mati menyebabkan hati kita sentiasa mengingati Allah. Orang yang tidak mengingati Allah bermakna hatinya telah mati.
Apabila fikir hal mati, mungkin kita terfikir tentang bila dan bagaimana kematian kita. Ini adalah sesuatu yang negatif kerana menyebabkan kita takut dan resah. Sebenarnya tidak perlu fikir tentang bila dan bagaimana kerana Allah saja yang mengetahuinya. Yang penting ialah adakah mati kita sama dengan doa yang sentiasa kita baca selepas solat. Antaranya, kita mohon kematian kita dimulakan dengan keampunan oleh Allah, mati bersama rahmat dan kasihsayang Allah,mati dalam keadaan Allah terima taubat kita dan mati yang dimudahkan Allah. Inilah yang kita perlu pastikan. Kalau kita mati pada umur 80 tahun pun dan dalam keadaan tidur pun, tetapi jika mati dalam dosa dan kemurkaan Allah, apalah gunanya.
Apabila kita memikirkan tentang mati yang dimulakan dengan keampunan, penerimaan taubat, rahmat dan kasihsayang Allah tadi, maka itulah tazkirah dan muhasabah hati. Tugas kita ialah bekerja untuk mencapai mati seperti itu. Tanpa hati yang mulia dan amal yang banyak, suci dan ikhlas, sukar untuk kita mencapainya. Masakan Allah memberi kematian yang baik itu sedangkan kita kurang amal, ahli fasik dan semasa hidup kita selalu meminggirkan Allah dari hati kita.
Justeru itu, mulalah beramal, bertaubat dan akrab dengan Allah. Cara hidup dan amal kita menggambarkan cara kematian kita. Apabila kita telah melakukannya, maka bolehlah kita letakkan harapan kepada Allah akan satu kematian yang baik. Ketahuilah bahawa KEMATIAN ADALAH PERTEMUAN KITA DENGAN KEKASIH SEBENAR KITA. Bukankah itu indah kalau semasa hidup kita selalu memuja, memuji dan merindui KEKASIH kita? Fikirkanlah wahai anak-anakku sekalian agar hidup kita selamat dunia dan akhirat dan kita semua dapat berkumpul di dalam syurga Allah yang indah.
Friday, October 2, 2009
perjalanan Hari Ini
Keluarga kita ke Kuantan lepas BA tusyen pagi ni. Ke sana, singgah bayar kereta, Kuantan Parade dan singgah rumah Tok Su Rah di Bandar Inderapura.
Baru baru install GPS dalam hadset baru BA, N78. Baru belajar guna..senang nak ke Shah Alam atau UKM Bangi nanti. Ada WLAN tapi BA dok tahu guna lagi. Handset tu kawan Farhan baru pakai tak sampai sebulan. Dia beli RM890. Dia jual ke BA RM500.00. BA tak tahu guna bercakap nampak wajah. Farhan kata, handset BA, Abang Ngah dan Iwan boleh bercakap nampak wajah.
Esok BA nak ke Kemaman CP kerana ada PC Fair.
Baru baru install GPS dalam hadset baru BA, N78. Baru belajar guna..senang nak ke Shah Alam atau UKM Bangi nanti. Ada WLAN tapi BA dok tahu guna lagi. Handset tu kawan Farhan baru pakai tak sampai sebulan. Dia beli RM890. Dia jual ke BA RM500.00. BA tak tahu guna bercakap nampak wajah. Farhan kata, handset BA, Abang Ngah dan Iwan boleh bercakap nampak wajah.
Esok BA nak ke Kemaman CP kerana ada PC Fair.
Wednesday, September 30, 2009
MEMAHAMI KEKUATAN DAN KELEMAHAN DIRI.
Anak-anak yang dikasihi sekalian,
Setiap manusia ada kekuatan (kelebihan) dan ada kelemahan (kekurangan) diri masing-masing. Semuanya kurniaan Allah yang menjadi satu pakej personaliti. 'Kekuatan' perlu dieksploit secara bijaksana dan murni untuk membawa diri kita mencapai sasaran dan cita-cita dalam kehidupan. Manakala 'kelemahan' perlu disembuhkan secara berani demi menukarkannya menjadi 'kekuatan'.
Kenalpastilah kekuatan dan kelemahan diri masing-masing. Contohnya, jika kita berkebolehan menguasai aplikasi komputer, maka gunakanlah kebolehan itu untuk manfaat diri dan membantu orang lain yang memerlukan bantuan kita. Di samping itu, beri tambahnilai kepada kebolehan kita dengan cara memperdalami ilmu tersebut agar lebih cekap dan trampil. Begitu juga sekiranya kita memiliki kelemahan, contohnya kita sukar bangun pagi untuk solat Subuh. Kita hendaklah rancang strategi, mecari punca kelemahan itu dan meletakkan sasaran masa untuk berubah.
Anak-anak sekalian,
BA pernah berpesan bahawa AKAL adalah aset setiap manusia yang dipinggirkan sedangkan AKAL-lah bekalan dari Allah untuk kita gunakan bagi memandu hidup kita. Dengan AKAL, kita boleh cari IMAN dan elak KUFUR. Maka gunakan potensi akal masing-masing. Ambil masa untuk berfikir, bermuhasabah dan mengurus kehidupan.Sekian.
Monday, September 28, 2009
BALIK KAMPUNG
Perkataan "Balik Kampung" adalah satu perkataan yang istimewa kerana membawa maksud yang cukup indah. Balik kampung bermakna kita pulang ke tempat asal di mana kita dibesarkan, bersekolah, mengumpul cerita dan pengalaman suka duka bersama ibu bapa, adik beradik, sahabat handai dan jiran sekampung. Balik kampung berlaku setelah kita semakin besar di tempat orang atau di perantauan dan meninggalkan kampung halaman kerana melanjutkan pelajaran, bekerja dan seumpamanya.
Balik Kampung bermakna kita berkumpul semula bersama keluarga, saudara-mara dan rakan sekampung serta melihat semula keindahan halaman dan perkampungan. Masa balik kampung biasanya singkat. Alangkah baiknya jika kita memanfaatkan masa yang singkat itu untuk memesrai keluarga, mendengar dan mengikut nasihat ibu bapa, bergurau senda dengan adik-beradik dan berkongsi cerita dan pengalaman.
Kini Along, Abang Ngah dan Adik Wan sudah balik ke tempat belajar masing-masing. Perantauan juga 'bermakna' dalam hidup kita sekiranya kita jadikan jarak yang jauh sebagai tali pengikat yang mengikat harapan, nasihat dan doa ibu bapa dengan diri kita. Semasa bersama keluarga mungkin kita bazirkan peluang untuk menyantuni ibu bapa. Maka jadikanlah jarak yang jauh sebagai tali yang terjalin azam dan tekad demi merealisasikan harapan dan doa ibu bapa. Perlu jihad nafsu untuk mengubah sikap dan tabiat.
Along, Abang Ngah dan Adik Wan tidak pernah rugi selagi menjaga solat 5 waktu dan menjadi insan yang beriman dan bertakwa kepada Allah.Bila dewasa nanti jadi manusia yang berjaya, berbahagia dan bermanfaat untuk agama, ibu bapa dan masyarakat. Cahaya indah tetap ada di depan selagi ALLAH ada di dalam hati kita.
Balik Kampung menjadi sangat bererti selagi ibu dan bapa masih bernyawa. Nanti bila pulang lagi ke kampung, manfaatkan pertemuan dengan cara menjadi anak yang mesra, soleh dan berbakti.
Sunday, September 13, 2009
JANGAN BERHENTI BERAMAL
Anak-anak yang dikasihi sekalian,
Bukan ilmu kita untuk mengetahui secara tepat turunnya lailatul qadar. Kita hanya berusaha dan bertawakal. Kalau manusia tahu sudah tentu mereka akan rasa tawar hati untuk beramal ibadat selepas turunnya malam yang lebih baik dari seribu bulan itu.
Oleh sebab kita tidak tahu secara pasti waktunya, itulah hikmat Allah agar hamba-Nya sentiasa beribadat sehinggalah malam hari raya. Dengan itu BA harap agar anak-anak teruskan berusaha mencari lailatul qadar. Beribadat dan berdoalah banyak-banyak. Mudah-mudahan kita dipertemukan Allah dengan malam mulia itu dan seterusnya memakhbulkan doa-doa kita.
Cuma tinggal lebih kurang 6 hari sahaja lagi. Buatlah yang terbaik.
Friday, September 11, 2009
BULAN PENANTIAN SALAFUSSOLEH
firman Allah Taala, “wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas umat-umat sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.” (al-baqarah : 183)
Bulan ramadhan adalah bulan mentarbiyyah diri. Bulan inilah melatih diri kita bersikap jujur, amanah dan meningkatkan akhlak-akhlak islamiyyah yang lain agar terus sebati dalam diri kita bagi menempuh sebelas bulan yang seterusnya. Selain ibadah puasa, seperti solat kita mudah tahu sekiranya seseorang itu tidak mendirikan solat kerana setiap hari kita difardhukan untuk mengerjakan 5 waktu solat.Walau bagaimanapun, pada bab puasa pula kita sukar mengesan seseorang itu tidak mengerjakan ibadah ini kerana ianya hanya dengan niat tanpa perlu melakukan gerak-geri seperti dalam ibadah solat. Ianya bergantung pada kejujuran seseorang itu terhadap dirinya sendiri. Dia boleh makan pada siang hari hanya sekadar tidak makan dihadapan orang lain, hanya tuhan sahaja yang tahu sama ada seseorang itu benar-benar berpuasa ataupun tidak.
Allah berfirman dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud, “puasa adalah untukku”. Hanya ibadah ini sahaja yang Allah kategorikan ibadah untuk-Nya tidak seperti ibadah-ibadah yang lain. Maka bulan ramadhan menjadi bulan penantian para salafulsoleh untuk mengabdikan dirinya kepada tuhannya kerana hanya melalui ibadah puasa sahaja mereka dapat membawa sesuatu untuk Allah seperti yang dikatakan oleh Nabi Muhammad dalam hadis qudsi tersebut.
Kehendak Allah melalui ibadah puasa ini keatas seseorang sudah sangat jelas iaitu
“supaya kamu bertaqwa”. Taqwa adalah takut kepada Allah dengan melakukan segala apa yang disuruh dan meninggalkan segala apa yang dilarang oleh Allah. Objektif ibadah puasa ini sangat jelas, walau bagaimanapun berapa ramai yang Berjaya memperoleh objektif ini daripada ibadah puasa?.
Ramai orang yang berpuasa tetapi dalam masa yang sama juga mereka melakukan maksiat. Mereka puasa tapi mereka menonton cerita-cerita yang penuh mendedahkan aurat, mereka berpuasa tapi mereka derhaka pada ibubapa, mereka puasa tetapi mereka tidak solat, mereka puasa tetapi mereka mereka mendedahkan aurat, mereka puasa tetapi mereka tidak melakukan kewajipan yang lain yang difardhukan oleh Allah dan mengingkari perintah Allah.
Persoalannya, tuhan yang menyuruh mereka puasa adalah juga tuhan yang mewajibkan solat, tuhan itu jugalah yang melarang menderhaka kepada ibubapa, tuhan itu jugalah yang melarang memandang aurat orang lain, tuhan itu jugalah mewajibkan menutup aurat. Segala perintah itu hanyalah dari tuhan yang satu yang bernama “ALLAH”.
Oleh itu bagaimana kita hendak memperoleh objektif daripada ibadah puasa ini iaitu TAQWA sedangkan pada masa yang sama kita melanggar perintah tuhan yang lain. Apa makna takut sekiranya kita melanggar perintah Allah yang lain?
Ayuh! Marilah kita sama-sama memperbaiki diri kita ini agar kita memperoleh matlamat dari ibadah puasa yang kita kerjakan iaitu menjadi orang yang bertaqwa kerana hanya orang yang bertaqwa sahajalah akan memperoleh syurga-Nya dengan rahmat Allah. Oleh itu, Kita perbaikilah sikap kita terhadap kedua ibubapa, jagalah pandangan mata, tutuplah aurat dengan sebenarnya, jagalah solat lima waktu dan perbanyakkan amalan sunat bagi menampung kekurangan dalam ibadat wajib kita seharian.
Pesanan ini adalah untuk semua yang tidak terlepas dari melakukan dosa kepada Allah terutamanya untuk diri penulis ini yang hanya pandai cakap sahaja sedangkan banyak melakukan dosa kepada tuhannya. Oleh itu, melalui bulan ramadhan ini kita sama-samalah memperbaiki diri kita supaya menjadi orang yang bertaqwa dengan mengikut segala perintah Allah dan tidak mengambil sabahagian daripada perintah Allah itu sahaja iaitu puasa. Ayuhlah kita tingkatkan lagi ibadah untuk malam 10 yang terakhir ini pada bulan ramadhan ini agar kita dapat bertemu dengan malam yang dinanti-nantikan iaitu “malam lailatulqadar”. Wallahua’lam…
Tuesday, September 8, 2009
BLUE-PRINT DAN PELAN TINDAKAN KEHIDUPAN
Anak-anak yang dikasihi sekalian,
Salahkah kalau BA cadangkan agar masing-masing membuat blue-print kehidupan sendiri. Umpamanya kita menetapkan apabila kita berumur 20 tahun, apa kita mahu capai, apabila berumur 25 tahun, apa kita mahu capai, apabila kita berumur 30 tahun, apa kita mahu capai. Contohnya, apabila kita berumur 22 tahun, kita mahu hafal 30 surah al-Quran, kita mahu menguasai kebolehan memimpin solat, tahlil, solat jenazah dan sebagainya, apabila kita berumur 25 tahun, kita mahu dapat master.
Bersama kerangka kehidupan ini, kita kena sertakan pelan tindakan. Pelan tindakan ialah perancangan dan gerak kerja untuk mencapai blue-print tadi. Jadi, blue-print dan pelan tindakan ini menjadi satu jadual dalam fail peribadi kita. Apabila mencapai usia tertentu, kita lihat apa yang berjaya dicapai dan apa yang perlu diusahakan lagi. Tetapi sebelum itu, kita hendaklah mengadakan semakan penggal di mana kita sentiasa menilai dan membuat unjuran. Contohnya, sekarang kita berusia 20 tahun. Target kita nak hafal 30 surah. Apabila berusia 21 tahun, kita lihat sejauhnya telah dicapai. Begitulah dari setahun ke setahun.
Blue-print ini merangkumi seluruh aspek kehidupan. Umpamanya bila kita rancang untuk berkahwin, memiliki kenderaan sendiri, bina rumah dan sebagainya. Islam tidak melarang kita merancang kehidupan malah ia selari dengan Islam berdasarkan niat baik Allah telah catat sebagai amal mulia. Blue-print adalah niat kita yang mulia untuk menjadi insan sejahtera yang bahagia di dunia dan di akhirat.
Maka BA harap Along, Abang Ngah, Adik Wan, Farhan dan Hakikat pasang niat yang baik secara bertulis dan teratur dengan mewujudkan blue-print dan pelan tindakan ini. Mudah-mudahan Allah merestui, memberi pahala dan memakhbulkan niat dan perancangan kita. Justeru itu, serentak dengan blue-print dan pelan tindakan itu perlu diserta dengan:-
1. Niat kerana Allah
2. Minta Allah redha.
3. Doa dan solat hajat minta Allah makhbulkan
4. Minta Allah bantu dan beri kekuatan untuk kita mencapainya.
5. Minta Allah tunjukkan yang baik itu baik dan kita dekatinya dan yang buruk itu buruk untuk kita jauhinya.
6. Insaf bahawa HANYA ALLAH yang menentukan dan kita sentiasa redha kepada anugerah dari Allah.
Simpanlah blue-print dan pelan tindakan itu dalam fail peribadi masing-masing. Semoga tulisan ini dapat dimanfaatkan oleh anak-anak yang dikasihi sekalian.
Sunday, September 6, 2009
KERJA KITA UNTUK ISLAM
Along dan Adik Wan telah memilih bidang profesional untuk masa depan. Target itu mesti usahakan sehingga tercapai; bukan sekerat jalan. Tetapi, siapa pun kita, apa pun kerja buat kita, kita mestilah menghala segalanya untuk jalan Allah. Sebagai profesional nanti, kita mesti cari peluang mempelajari agama agar kita menjadi profesional yang alim dan bekerja untuk Islam. Ramai orang menekuni kitab dan pelajaran agama semasa sedang belajar dan selepas tamat belajar/berinazah. Ilmu profesional kita, ilmu agama kita dan duit yang kita dapat dari kerja profesional kita mestilah ada persennya untuk Islam sama ada untuk perjuangan Islam atau membantu fakir miskin.
Abang Ngah telah memilih bidang agama. Agama bukan untuk diri sendiri sahaja. Ilmu yang kita miliki hendaklah disebarkan dalam masyarakat melalui lisan dan tulisan. Abang Ngah mesti boleh memimpin solat, berkhutbah, mengepalai tahlil, memimpin solat hajat, menguasai pelbagai doa dan kitab. Semoga Abang Ngah mempunyai ilmu, kebolehan dan keyakinan yang mantap. Biarlah apabila berijazah nanti, Abang Ngah telah mempunyai keupayaan yang mantap untuk memimpin masyarakat. BA tidak mahu Abang Ngah menjadi ustaz yang tidak berfungsi seperti BA tengok di sekolah-sekolah. hanya segelintir yang bekerja untuk Islam.
Farhan dan Hakikat masih kecil. Selain BA, abang dan kakak kena pimpin mereka untuk masa depan yang cemerlang untuk Islam.
Friday, September 4, 2009
TERKINI KELUARGA KITA.
Tahun ni Kikat puasa setiap hari setakat ni. Cuma sekali-sekala salah minum air dan makan chikedes. Akhir-akhir ni nampak segar dan gagah dia berpuasa. Farhan pun rajin solat tarawikh. Cuma suka duduk belakang. Kadang-kadang hilang gi main. BA dan UMI sihat saja.
Pakaian raya dah hampir sempurna. Adik Wan memilih sangat sampai susah nok cari.Hari Raya tahun ni, kita beraya di Dungun dulu. Tapi raya lambat lagi. Puasa betul-betul dan banyakkan beribadat.
Pakaian raya dah hampir sempurna. Adik Wan memilih sangat sampai susah nok cari.Hari Raya tahun ni, kita beraya di Dungun dulu. Tapi raya lambat lagi. Puasa betul-betul dan banyakkan beribadat.
Thursday, September 3, 2009
MARI KITA MENJADI ORANG YANG CERDIK.
Putera-puteri yang dikasihi,
Masih ingatkah kata-kata BA bahawa orang yang paling cerdik ialah orang yang paling banyak mengingati mati. Apabila kita mengingati mati, maka kita akan tahu titik akhir kehidupan kita. Ruang nasib kita seterusnya ialah ruang kubur dan padang permainan kita seterusnya ialah Padang Mahsyar. Destinasi terakhir ialah SYURGA atau NERAKA.
Destinasi terakhir itu ditentukan oleh sikap, amalan, niat dan matlamat kita pada hari ini. Sebenarnya, kini kita sedang mencipta jalan ke destinasi itu. Ramai orang dan mungkin termasuk kita tidak menjadikan destinasi itu sebagai agenda penting dalam hidup kita sehari-hari. Sebab itulah kita cuai solat, malas baca Quran dan berzikir, malas bertaubat dan beristighfar dan kedekut untuk bersedekah. Sebaliknya, kita lebih tekun mendengar lagu, membaca buku dan menonton Tv, lebih bersemangat bercerita hal orang lain, dan sebagainya.
Putera-puteriku sekalian,
Bukankah matlamat kita adalah untuk berkumpul di dalam syurga? Bukankah kasih sayang di dunia ini akan putus dengan berlakunya kematian. Kematian bermakna tubuh badan kita terpisah, nasihat terpisah dan kasih sayang terpisah. Terpisah buat selama-lamanya. Allah telah menjanjikan bahawa hanya penghuni syurga sahaja yang dapat bertemu semula, berkumpul dan hidup bahagia tanpa selisih dan sengketa. Maka, marilah kita melihat telapak kaki kita, melihat arah langkahnya. Masihkah kita berada pada landasan dan hala yang benar, atau adakah kita semakin hari semakin terkeluar dan terpesong?
Tuntasnya, SOLAT FIRST, ISLAM FIRST.
Tuesday, September 1, 2009
MUHASABAH DAN JIHAD
Anak-anak yang dikasihi sekalian,
Manusia tidak pernah sempurna. Sifat sempurna hanyalah milik Allah. Ini bermakna, sebagai insan, kita mempunyai kekurangan. Kita akan hanya sedar kekurangan kita apabila kita sentiasa muhasabah yakni menghisab diri.
Muhasabah adalah kerja orang-orang yang beriman. Seperti kata yang masyhur, "hisablah diri kamu sebelum kamu dihisabkan". BA harap anak-anak selalu bermuhasabah. Ambillah masa lapang atau waktu hampir melelapkan mata untuk memikirkan tentang nasib dan hala tuju diri.
Kenalpasti kekurangan dan kelemahan diri kita. Fikir faktor-faktor dan jalan mengatasinya. Ambil langkah-langkah yang teratur untuk membaiki kelemahan itu. Dan yang pastinya perlu ada daya juang dan jihad untuk membaiki diri. Bukan senang kita mahu ubah sikap dan tabiat. Sikap dan tabiat adalah set perlakuan yang sama yang telah dilakukan dalam jangka masa yang begitu lama. Akhirnya perlakuan itu menjadi sikap dan tabiat.
Oleh kerana sikap dan tabiat itu telah melalui proses yang lama, maka proses untuk mengubahnya juga terpaksa melalui jangka masa yang panjang. Justeru itu, anak-anak mesti istiqamah (tetap pendirian) dan berjihad (melawan nafsu yang cuba menggagalkan usaha. Sukar untuk merubah tabiat dan sikap tanpa JIHAD NAFSU.
[ Antara sikap dan tabiat anak-anak yang perlu diubah ialah pengurusan masa, kekemasan kerja buat, tidur keterlaluan dan solat ala kadar. Ini semua perlu diperbaiki. ]
Saturday, August 29, 2009
AmBiL Kereta..
Hari ni Along pergi ambil kereta kancil di Kawasan Perindustrian Subang Hi- Tech.. Kereta telah selamat dibaiki..
Esok nak pegi ke rumah sewa Ummu di Nilai, N9... Tadi die telefon dan tempah sambal ikan bilis.. Dijangkakan kembali semula ke Shah Alam pada hari Isnin ini..
Pesanan kepada MOHD NURFARHAN..
* Belajar betul-betul untuk menghadapi Peperiksaan UPSR pada 8 Sepetember ini..
* Jangan banyak main..
Pesanan kepada MOHD NURHAJAT SYAZWAN..
* Walaupon tdk dpt result yang bagus untuk test yang lepas, tapi kene berusaha lebih gigih untuk final sem ni.. kerana jika berjuang separuh jalan semasa di Matrix dan ingin memasuki Diploma di mana2 universiti.. Ia memerlukan sekurang2nyer 7 Tahun lagi untuk belajar sebelum memperolehi Ijazah.. Ini kerana diploma mengambil masa 3 Tahun, dan Ijazah selama 4 tahun.. So, apa salahnyer jika besusah payah sedikit selama 1 sem lebih je lagi ni utk matrix dan seterusnya boleh mengambil Ijazah.. Dah jimat hampir 3 Tahun..
Pesanan kepada MOHD NURHILMI..
* Study hard and smart..
Akhir sekali Selamat Berpuasa kepada semua...
Esok nak pegi ke rumah sewa Ummu di Nilai, N9... Tadi die telefon dan tempah sambal ikan bilis.. Dijangkakan kembali semula ke Shah Alam pada hari Isnin ini..
Pesanan kepada MOHD NURFARHAN..
* Belajar betul-betul untuk menghadapi Peperiksaan UPSR pada 8 Sepetember ini..
* Jangan banyak main..
Pesanan kepada MOHD NURHAJAT SYAZWAN..
* Walaupon tdk dpt result yang bagus untuk test yang lepas, tapi kene berusaha lebih gigih untuk final sem ni.. kerana jika berjuang separuh jalan semasa di Matrix dan ingin memasuki Diploma di mana2 universiti.. Ia memerlukan sekurang2nyer 7 Tahun lagi untuk belajar sebelum memperolehi Ijazah.. Ini kerana diploma mengambil masa 3 Tahun, dan Ijazah selama 4 tahun.. So, apa salahnyer jika besusah payah sedikit selama 1 sem lebih je lagi ni utk matrix dan seterusnya boleh mengambil Ijazah.. Dah jimat hampir 3 Tahun..
Pesanan kepada MOHD NURHILMI..
* Study hard and smart..
Akhir sekali Selamat Berpuasa kepada semua...
Thursday, August 27, 2009
CUTI DI DUNGUN
Semalam, BA and the geng pulang ke rumah Tik. Dapat berbuka dan bersahur. Kikat pun dah gagah sikit berpuasa. Ayahcik and the gengnya nampak selesa makan bila ada geng kita.
Hari ini BA and the geng akan pulang ke Kemaman. Ada majlis berbuka puasa di Pasti Mak Chili dan ceramah. Hari Jumaat nanti BA nak gi ambil Adik Wan kat kolej dia.
BA belum baca tulisan dan cerita Along di sana. Tak nak cerita sikit biar-adik baca. Berilah motivasi kpd AbangCik yg akan duduki UPSR pada 8.09.09 dan Iwan yg akan berperiksa pada bulan Oktober.
Sekian dulu. Selamat Berpuasa. Jaga diri dan harta dengan baik.
Wednesday, August 26, 2009
'Mati sebelum mati (hakikat nafas) GERAK FAQIR
Berkata Arifbillah,
'Matikan dirimu sebelum kamu mati'. Maka 'mati yang pertama' itu seolah-olah bercerai ruh dari jasad, tiada daya upaya walau sezarah jua pada hakikatnya, hanya Allah jua yang berkuasa, kamudian dimusyahadahkan didalam hati dengan menyaksikan kebesaran iaitu sifat Jalal dan JamalNya dan kesucianNya. Maka mati diri sebelum mati itu ialah dengan memulangkan segala amanah Allah iaitu tubuh jasad ini kepada yang menanggung amanah iaitu ruhaniah jua.
Ditarikkan 'nafas' itu dengan hakikat memulangkan dzat, sifat, afaal kita kepada Dzat, Sifat, Afaal Allah yang bererti memulangkan segala wujud kita yang zahir kepada wujud kita yang bathin (Ruh). Dan pulangkan wujud Ruh pada hakikatnya kepada Wujud Yang Qadim.
Maka selepas sempurna 'mematikan diri yang pertama' hendaklah melakukan 'mikraj' iaitu 'mematikan diri peringkat kedua' yang dinamakan mati maknawi, iaitu hilang segala sesuatu didalam hatimu malainkan hanya berhadap pada Allah jua. Dengan meletakkan nafas kita melalui alam 'ampas' iaitu antara dua kening merasa penuh limpah dalam alam kudus kita iaitu dalam kepala kita hingga hilang segala ingatan pada yang lain melainkan hanya hatimu berhadap pada Allah jua.
'Mati pada peringkat ketiga' adalah mati segala usaha ikhtiar dan daya usaha diri kerana diri kita ini tidak boleh melakukan sesuatu dengan kekuatan sendiri sebab manusia itu sebenarnya memiliki sifat 'Fakir, Dhaif, lemah dan hina'. Dinaikkan 'tanafas' hingga ditempatkannya dengan sempurna di 'nufus' dengan melihat pada matahati itu dari Allah, dengan Allah dan untuk Allah.
Dari Allah mengerakkan Ruhaniah, dari ruhaniah mengerakkan Al-Hayat, dari al-hayat mengerakkan Nafas, dari nafas mengerakkan Jasad dan pada hakikatnya itu Allah jualah yang mengerakkan sekeliannya. Pada pandangan dzahir perbuatan hamba tetapi pada pandangan matahati perbuatan Allah jua. Maka Syuhud akan Allah pada kosadnya (niat) dan segala gerak dan diamnya sebagaimana firmanNya,
"Dan tiadalah yang melontar oleh engkau ya Muhammad ketika engkau melontar tetapi Allah yang melontar........." .
Wallahhualam.
post from http://gerakfakir.blogspot.com
Monday, August 24, 2009
HADIAH KEJAYAAN DARI ANAK-ANAK
Adik Wan, Abang Ngah, Along sudah beri hadiah kepada BA dan UMI. BA dan UMI telah terima hadiah itu. Hadiah itu ialah kejayaan anak-anak dalam UPSR, PMR, SPM, STPM dan Ijazah (Along). BA dan UMI anggap itu hadiah dari anak-anak kerana BA dan UMI rasa gembira menerima keputusan kejayaan itu. Tinggal lagi Farhan dan Kikat.
Adik Wan berikan lagi hadiah yang baik berupa kejayaan di matrik, Abang Ngah dengan Ijazah dan Along dengan Master. Justeru itu, belajar betul-betul. Jangan banyak tidur. Cover semula yang tertinggal. Banyak membaca dan ulangkaji. Habiskan masa dengan belajar dan ibadat. Bukan habis dengan tidur dan perkara yang tidak penting.
Sunday, August 23, 2009
JANGAN BERDUKACITA MENERIMA UJIAN TUHAN.
Wahai putera-puteriku sekalian,
Kita pernah mendengar bahawa kesusahan dan kesenangan adalah ujian Allah kepada hamba-Nya. Ini bukan sekadar kata-kata biasa atau satu makluman yang tidak berguna. Peringatan ini kadang-kadang dibawa angin lalu sahaja selagi tidak terkena kepada batang tubuh kita. Sebenarnya, kata-kata ini adalah peringatan yang sangat bermakna yang perlu kita jadikan bekal dalam mengharungi kehidupan di dunia ini. Dan peringatan ini sudah pasti amat bererti apabila kitalah yang sedang menghadapi kesenangan apalagi kesusahan.
Kesenangan satu ujian Allah. Sejauh mana kita menguruskan kesenangan itu ke jalan yang diredhai Allah. Manakala kesusahan ujian bagi kesabaran dan sifat kehambaan kita kepada Allah. Betapa ramai manusia menjadi sesat kerana kesenangan. Kesenangan menjadikan mereka lupa kepada Tuhan. Mereka jaji takabbur, riak, lupa diri, memandang rendah orang miskin dan menggunakan harta kesenangan untuk berfoya-foya dan membazir. Manakala kesusahan juga ujian Tuhan dari aspek untuk menguji keimanan, ketaqwaan, kesabaran dan sifat redha kita atas ketentuan Qada' dan Qadar-Nya.
Dalam telah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud;"Adakah kamu mengatakan kamu beriman sedangkan kamu belum diuji?"
Wahai putera-puteri yang disayangi,
Ujian yang kita alami mungkin dalam bentuk kesakitan, kemalangan, kegagalan, ketakutan dan seumpamanya. Maka hendaknya apabila kita diuji, kita jangan mudah hilang punca dan pegangan. Malah kita patut mengucap syukur, mengapa? Contoh, mujur sekadar luka, kalau patah atau parah? Mujur hilang duit RM 1000, kalau RM10 000? Mujur itulah nikmat dari Tuhan.
Apabila kita telah memahami tentang ujian Allah ini, maka mudah-mudahan hati kita menjadi redha dan tenang. Malah hubungan kehambaan kita dengan Allah akan menjadi lebih erat sehingga mengundang kasih sayang Allah pula. Inilah proses kematangan dalam iman. Di samping itu, ujian Allah yang lalu hendaklah dijadikan sebagai satu peringatan dan panduan agar kita sentiasa berwaspada, berhati-hati dan berdoa untuk meminta restu dan keselamatan daripada-Nya. Amin.
Saturday, August 22, 2009
KERJA DAKWAH ADALAH KERJA SETIAP UMAT ISLAM.
BA berpesan kepada semua anak-anak agar menjalankan misi dakwah mengikut cara masing-masing. Jadikan kita agen Allah dalam membawa manusia dekat kepada-Nya. Mudah sahaja. Tunjukkan amalan yang baik yang boleh menyebabkan orang ikut kita melakukannya. Ajak kawan solat jemaah, tegur kesilapan kawan dengan cara bijaksana, beritahu kebenaran, tulis sesuatu untuk orang baca dan seumpamanya.
Kita kena fikir; kalau kita tidak menjalankan misi dakwah yang telah dilaksanakan oleh para Rasul, maka kepada siapa lagi hendak diamanahkan kerja mulia ini? Nak suruh orang kafir berdakwah? Tentu tak masuk akal.
Sedarilah akan tugas yang semakin dipinggirkan oleh muslim ini. Sebab itulah BA peringatkan kepada anak-anak kerana BA mahu misi dakwah yang pernah dan sedang (dan insya-Allah selagi nyawa dikandung badan) BA lakukan akan disambung dan diperhebat oleh anak-anak pula. Sewajarnya kita berusaha melahirkan agen-agen dakwah di bawah kita pula. Bukankah agen-agen maksiat begitu ramai dan aktif mutakhir ini. Maka para agen dan tentera Allah muslimin dan muslimat mesti lebih tegar dan berani berdepan dengan mereka. Sekian.
Thursday, August 20, 2009
MOTOR BARUKU
Wednesday, August 19, 2009
BAIK MANUSIA DENGAN YANG SATU ITU
Wahai anak-anakku yang dikasihi,
Ingatlah pesan Nabi s.a.w. yang antara maksudnya: " Dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika baik daging itu, baiklah orang itu. Jika buruk daging itu, buruklah orang itu. Daging itu ialah HATI."
Maka kalau kita nak tahu sama ada kita manusia yang baik atau buruk, kita tilik pandanglah hati kita. Dan untuk jadi manusia yang baik, didiklah hati itu dengan iman. Antara ciri hati yang baik ialah:-
1. Benar dan sempurna imannya kepada Allah.
2. Suka kepada majlis ilmu dan amal ibadat dan sebaliknya tidak suka kepada dosa dan
maksiat.
3. Suka berhubung dengan manusia dengan niat yang baik, murni dan ikhlas.
4. Tiada riak, takabur, samaah, ujub dan seumpamanya.
5. Tidak suka mengumpat, berdendam,khianat, berburuk sangka, iri hati dan apa
sahaja penyakit hati yang seumpamanya.
6. Suka membantu dan menolong manusia dan haiwan.
7. Bersifat pemurah dan tidak kedekut.
8. Cara hidupnya menepati cara hidup Islam seperti cara bertutur, cara berpakaian,
cara makan minum, cara bergaul dan seumpamanya.
Ciri-ciri di atas adalah cerminan hati manusia yang baik.
Monday, August 17, 2009
Video Pesanan Puasa
Harap puasa yang terbaik. Jangan tinggal solat kerana letih berpuasa. Jangan tinggal solat tarawikh dan witir. Dirikan juga solat tasbih dan solat hajat.
Mesej H1N1
Sudah pastinya Allah menurunkan H1N1 sebagai satu bala atas kebiadapan dan kedurjanaan manusia. Ini berdasarkan kisah-kisah zaman para nabi terdahulu. Bagi orang beriman, wabak dan kesusahan akibat H1N1 ini sebagai kifarat dosa kita yang lepas.
Mesejnya jelas iaitu Allah memperingatkan kita agar kembali kepada Islam dan pengamalannya. Bukan Islam pada nama atau Islam baka sahaja. Yang Allah haramkan dan murkai semesti kita hindarkan. Yang Allah suruh mesti kita laksanakan. Al-Quran dan al-hadis jangan dipertikaikan baik dari segi hukum-hakamnya, pengajarannya dan segala isinya.
H1N1 adalah virus dan wabak. Virus dan wabak adalah makhluk Allah. Mereka tiada kuasa memudaratkan manusia. Allah yang menentukan kepada siapa akan diujinya. Maka tiada konsep penyakit berjangkit. Namun Islam mengajar kita berikhtiar agar terhindar daripada virus dan wabak ini. Caranya, baca doa elak wabak walaupun dalam bahasa Melayu (dan yakini doa itu), elak daripada berada di tempat awam, pakai penutup hidung, basuh tangan sehingga suci dan insafi kelemahan diri.
Dengan itu, anak-anak jangan ambil ringan hal ini walau di mana berada. Allah marah kalau kita tidak gentar akan ancaman Allah. Marilah kita insafi kekerdilan dan kelemahan diri kita sebagai makhluk di samping mengagungkan kehebatan dan kebesaran Allah. Kita semestinya berusaha dan bertawakkal kepada-Nya.
Saturday, August 15, 2009
PERJUANGAN DI BILIK KULIAH
Aku akan menghormati sesiapa sahaja yang memberi ilmu kepadaku tapi bagaimana aku ingin menghormati pemberi ilmu sekiranya dia adalah musuhku dan musuh agamaku. Di bumi UKM ini, terdapat pensyarah yang mengajar ‘KAJIAN TAFSIR’ tapi dalam ucapannya dia mengatakan, “undang-undang Malaysia tidak elok sebab penzina boleh melepaskan diri dengan hanya bayar ikat jamin RM2000. apa salahnya bagi hukuman kepada penzina 2@3 rotan. Ini sudah cukup memberikan kesan”. Apabila aku mendengar ucapannya, ini membuatkan diriku tertanya-tanya, tafsir manakah yang dia ambil sedangkan dalam al-quran sudah jelas hukuman kepada penzina yang sudah berkahwin adalah rejam sampai mati, dan yang belum berkahwin adalah sebat 100kali. Apakah logiknya seorang pensyarah yang dipanggil ustaz memgeluarkan kenyataan “cukup dengan 2@3 rotan”, sedangkan dia mengajar tafsir al-quran. Pasti kenyataan sebegini akan memeningkan kepala orang yang mendengar dan boleh menyesatkan orang yang jahil apabila didengar.
Ada juga pensyarah yang mengajar “PEMIKIRAN ISLAM SEMASA” banyak mengeluarkan pendapat-pendapatnya dalam isu-isu tentang islam sehingga kenyataannya itu boleh menyebabkan dia menjadi kufur. Baginya sesiapapun bebas mengeluarkan pendapat dan kita mestilah menghormati pendapat masing-masing. Bagiku pula, setiap daripada kita boleh mengeluarkan pendapat tetapi kita tidak bebas untuk mengeluarkan pendapat terutama dalam soal akidah dan hokum-hukum yang telah dijelaskan dalam al-quran. Dia juga tidak mempertikaikan kenyataan dr. masyitah yang membenarkan ibu tunggal berzina untuk menyara hidup keluarga. Dia mengatakan ustazah masyitah boleh mengeluarkan pendapatnya dan kita mestilah menghormati pendapatnya. Bagaimana pula kenyataan masyitah yang mengatakan hudud tidak sesuai pada zaman ini. Kenyataan- kenyataan sebegini sangat menyesatkan dan boleh menyebabkan seseorang menjadi kufur. Apakah kenyataan sebegini harus dihormati? Sesekali tidak akan aku hormati kata-kata sesiapapun sekiranya ianya bercanggah dengan kata-kata Tuhan seperti dalam al-quran.
Beberapa minit sebelum balik, pensyarah sempat menanyaku soal hudud mungkin kerana hanya aku seorang sahaja yang berkopiah semasa itu. “hilmi, apa pendapat awak hudud ni tidak diamalkan di Malaysia?” tanpa berfikir panjang, lantas aku menjawab dengan suara tegas, “mane boleh gitu, kene wat ah. Ayat tentang hudud dalam al-quran adalah ayat muhkam bukannya ayat yang mutasyabihat yang perlu kita takwil lagi.” Pensyarah mengangguk-angguk sambil tersengih. Lalu dia bertanya lagi aku, “jadi kita nok amal macam mane, di Negara kita terdiri daripada pelbagai budaya dan agama”. Sekali lagi aku mempertahankan hujahku, aku memberitahu, “buat je ah, tu bukan masalahnya. Masa zaman Rasulullah juga terdiri daripada pelbagai budaya dan agama, ada aus, ada khazraj. Ada islam dan ada juga kafir. Malah orang kafir pulok yang masuk islam apabila melihat kemurniaan undang-undang islam yang dibawa Rasulullah.” Kali ini hujahku tidak dapat dipertikai lagi oleh pensyarah dan kawan-kawanku yang mengangguk-angguk sambil ketawa mungkin disebabkan loghat bahasaku yang indah.
Kali ini pensyarah menerima pendapatku tetapi dia berpendapat sebelum kita buat undang-undang islam kita kene memberi kefahaman dahulu kepada orang bukan islam. Lantas aku mencelah tanpa disuruh, “ bukan orang bukan islam yang dok paham, orang islam sendiri yang dok paham”. Perasaan nok mengeluarkan umno yang tidak faham tentang hudud, tapi lebih baik qias sedikit lah rasenya. Pensyarah meneruskan syarahannya.Apabila habis kelas pada malam itu, rakanku yang bersama aku dalam kelas itu iaitu anak menteri besar kedah(ustaz azizan razak) memberitahuku bahawa pensyarah itu adalah bekas calon aspirasi kat UKM. Baru ku sedari, patutlah kenyataan-kenyataan pensyarah itu begitu dangkal sekali. Aku berazam akan terus mempertahankan islam selepas ini daripada orang-orang yang mempertikaikan ayat-ayat Allah dengan akalnya yang cetek.
Bagi pensyarah yang mengajarku “KAJIAN HADITH” pula dengan rentaknya tersendiri. Dia mengajar kajian hadith tetapi dia juga adalah professor merangkap ketua di jabatan Islam Hadhari. Bagaimana dia boleh menyandang jabatan yang sesat itu dengan ilmunya yang ada. Hadis mana yang dia guna untuk menghalalkan tindakan dia itu? Bagaimana dia menghuraikan hadis nabi yang bermaksud, Allah tidak menerima sebarang tukok tambah dalam islam(lebih kurang gitu ah). Bagaimana pula dia mentafsir a-quran, “pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu dan aku redha Islam itu menjadi agamamu”.
Prinsip islam hadhari yang pertama juga ‘beriman dan bertaqwa’. Makna bertaqwa tu sahaja boleh dipersoalkan kepada pelopor islam hadhari. Maksud taqwa ialah takut iaitu menyerah diri pada Allah dengan MELAKSANAKAN SEGALA PERINTAHNYA dan meninggalkan segala larangannya. Jadi bagaimana pula bagi prof dengan soal hokum hudud yang tidak diamalkan di Malaysia. Dimana prinsip TAQWANYA itu. Jadi sekiranya orang yang membawa islam hadhari ini pun melanggar prinsip yang dia bawa, tidak perlu lagilah kita mengikuti islam hadhari yang jelas kesesatanya.
Ingatlah wahai rantai perjuangan islam!
Apabila dirimu telah disenaraikan dalam sof perjuangan,
Maka tabiat jenerasi ini mestilah berbeza dengan tabiat jenerasi umum,
Sahsiah mesti ditingkatkan,
Akhlak mesti berbeza,
Fikrah mesti semakin jelas,
Daya fikiran mesti semakin matang,
Nilai ucapan dan kata2 mestilah berharga,
Pandangan mestilah bernas,
InsyaAllah...
Sesungguhnya perjuangan tidak mengenal tempat dan masa!
Subscribe to:
Posts (Atom)