Thursday, October 29, 2009

KHAUF KEPADA ALLAH KUNCI KE SYURGA



Khauf adalah perkataan daripada bahasa arab yang bermaksud takut. Rasa takut kepada Allah adalah suatu nikmat besar yang diingini oleh muslim sejati. Tidak timbul rasa takut mahupun gelisah dalam hati kita apabila kita melakukan maksiat kepada Allah. Hidup kita didunia ini seolah-olah kita seorang yang maksum yakni suci daripada dosa. Betapa kejinya kita apabila kita mampu mengeluarkan air mata apabila ketakutan terhadap ancaman sesuatu makhluk malangnya tidak berupaya menitiskan air mata walau setitis atas dasar takutkan ancaman Allah di hari kelak terhadap dosa yang kita lakukan hari ini. Sedangkan tiada suatu nilaipun air mata kita terhadap makhluknya. Walau selautan air mata menangis kerana takut pada ancaman makhluknya, ianya langsung tidak dapat menghalang takdir Allah yang telah ditetapkan sejak azali lagi. Jika Allah telah tetapkan diri kita untuk dizalimi oleh makhluknya, ia tetap berlaku walau kita bersujud menangis didepan makhluknya itu. Tetapi ketahuilah betapa tingginya nilai air mata kita kepada Allah Taala sekiranya menangis kerana takutkan-Nya, sehinggakan satu titisan yang mengalir keluar dari mata keinsafan mampu memadamkan api neraka-Nya. Tak tergambar betapa sayangnya Allah Taala terhadap hambanya walau setinggi gunung dosa yang dibawa mengadapnya, mampu diampunkan disebabkan setitis air mata hambanya jatuh ke bumi.

Duhai jiwa yang berdosa, rebutlah kalian mendapatkan cintaNya yang satu sabelum menjelma murkaNya yang seribu. Tiada cinta setulus cintaNya. Sekiranya peroleh cintaNya itu pada jiwa kalian, ianya suatu jaminan besar kebahagian seseorang didunia dan diakhirat nanti. Hentilah air mata kalian kerana makhluk, siramilah bumi ini dengan air mata keinsafan seorang hamba. Bertaubatlah kalian terhadap dosa yang lalu. Didiklah hati takut kepadaNya, didiklah mata menangis untukNya. Janganlah merasakan dirimu selamat dari murkaNya dengan amal ibadahmu yang sedikit itu. Bertaubatlah dan beristirgfarlah setiap hari mengenangkan dosamu yang belum tentu mendapat keampunan Allah. Sedangkan Rasulullah kekasih Allah yang maksum, setiap hari 100kali taubatnya kepada Allah. Sesungguhnya taubat yang sebenar-benar taubat menjadikan kita bagai bayi yang baru lahir yakni suci dari dosa yang telah dilakukan.

Demi Allah yang Esa…
Sesungguhnya tidak disediakan jalan yang mudah untuk menuju cintaMu…
Menitis air mata tak kala merasa semakin jauh dariMu…
Tapi janji Allah tetap segar dan mekar tanpa pengkhianatan,
Keranaku tetap yakin Allah mengatakan: “wajiblah cintaKu pada orang-orang yang berkasih sayang padaKu...”. –asSyahid Hassan alBanna-

PERISAI MENGHARUNGI ZAMAN REMAJA




Percayalah anak-anakku sekalian bahawa kalian akan selamat mengharungi zaman remaja yang mencabar ini sekiranya kesilapan kalian tidak melampau. Dan kesilapan itu tidak akan menjadi terlampau dengan syarat kalian menghargai yang satu iaitu SOLAT YANG SEMPURNA. Jangan ditinggalkan solat 5 waktu. Lakukanlah dengan istiqamah. Lakukanlah dengan sempurna syarat sah dan rukunnya. Jaga khusyuknya. Pelajari hukum-hakamnya. Laksanakan solat yang terbaik. Solatlah yang akan menjadi perisai yang akan menjaga kalian dari keterlanjuran. Solatlah yang akan membentuk iman dan jatidiri kalian. Solatlah yang akan membawa kalian keluar dari kecelaruan zaman remaja ke zaman dewasa yang lebih terurus dan bertanggungjawab. Solatlah yang akan menukar imej kalian di suatu hari nanti apabila kalian sudah semakin matang. Anak-anak remajaku akan berdiri gagah dan megah serta meraih penghormatan dari masyarakat. Percayalah pada masa depan yang indah sekiranya kalian menjaga dan melaksanakan solat yang sempurna.


Anak-anak yang dikasihi sekalian,
BA dan UMI sentiasa berdoa agar Along, Abang Ngah, Adik Wan, Abang Cik dan Kikat menjadi anak-anak yang menjadi penyejuk mata hati. Anak yang menjadi penyejuk mata hati ialah anak-anak baik akhlaknya, soleh amalnya, tingginya ilmu dan kelulusannya dan berjaya hidupnya di dunia sampai akhirat. BA dan UMI yakin selagi kalian jaga solat 5 waktu (tanpa disuruh), betul bacaan dan khusyuk dan dilakukan dengan terbaik, insya-Allah sinar kebahagiaan menanti kalian sama ada BA dan UMI masih hidup atau telah bersemadi.

Monday, October 26, 2009

KITA HARUS HAIRAN DENGAN KEBERATAN MULUT KITA.



Putera-puteri yang dikasihi sekalian,
Sedarilah bawa mulut kita yang merangkumi bibir, lidah dan gigi adalah antara anggota yang paling ringan berbanding dengan kaki, tangan dan kepala. Gerakannya pula melibatkan otot-otot yang amat kecil dan pergerakan yang ringan. Perhatikan semasa kita bercakap; sejauh mana gerakan lidah dan dua bibir. Berapa peratuskah tenaga yang digunakan untuk menggerakkannya. Malah sekiranya kita berkata-kata dengan perlahan, orang yang berada di sekeliling kita pun tidak menyedarinya.

Ketahui oleh anak-anakku sekalian bahawa antara fungsi mulut yang paling utama ialah berzikrullah. Tetapi sayangnya kita malas pula menggunakan mulut untuk melafazkan ayat-ayat yang mulia itu, sedangkan kita boleh bercakap berjam-jam tanpa henti untuk hal-hal yang tidak berfaedah. Dari mula bangun tidur hingga ke saat mata terlelap, banyak mana lidah digunakan untuk hal-hal keduniaan dan banyak mana pula lidah digunakan untuk memuji dan memuja Allah, Tuhan yang kita akan hadapi di Padang Mahsyar kelak?

Ketika duduk keseorangan sama ada ketika memandu, bersiar-siar dan berehat, kita lebih suka berdiam dan memberi rehat kepada lidah kita. Kononnya pada waktu-waktu lain lidah kita sudah banyak bekerja dan berkomunikasi dengan manusia lain. Habis, bilakah kita nak bersibuk-sibuk dengan Allah melalui lidah kita yang ringan itu?

Contohnya, cuba analisis kata-kata “lailaha illaLah” pada lidahmu. Huruf-hurufnya terdiri daripada huruf-huruf hijaiyah yang ringan sebutannya. Antaranya, huruf ‘alif’, ‘lam’ dan ‘ha’. Apabila kita melafazkannya secara perlahan, bibir tidak bergerak pun. Yang bergerak hanyalah hujung lidah. Ini bermakna apabila kita bertahlil di kalangan orang ramai pun, mereka tidak akan sedar bahawa kita sedang berzikir. Tiada peluang riak langsung. Hanya kita dengan Allah sahaja meskipun orang lain berada di sekeliling kita. Fikirkan bagaimana Allah telah aturkan satu kalimah suci yang mudah untuk hamba-Nya melazimkan pada lidah-lidah mereka. Tetapi sejauh mana manusia berfikirkan tentang ini.

Anak-anakku sekalian,
Pesanku; lazimkanlah lidahmu dengan zikrullah. Basahi lidah sentiasa dengan lafaz-lafaz suci dan mulia yang mengundang kasih sayang dan keampunan dari Allah. Jangan bazirkan nasihat dan wasiat yang amat berguna ini.

Saturday, October 17, 2009

IMEJ KITA TERLETAK PADA SIKAP KITA TERHADAP KEBERSIHAN.


Anak-anak yang semakin meningkat dewasa sekalian,
Islam adalah agama yang syumul. Dari hal-hal kenegaraan dan pemerintahan sampailah kepada hal-hal bersuci semuanya terangkum dalam ajaran agama kita. Sayangnya hal-hal berkaitan menjaga kebersihan dan kesihatan dipandang remeh dan seolah-olah tidak berkait dengan agama. Bukankah menjaga kebersihan itu sebahagian daripada iman sebagai maksud hadis Nabi s.a.w?

Mari tentukan sikap dan persepsi kita dalam dua situasi yang kontras. Satu pemandangan bilik tidur yang kondusif. Pakaian, , perabut, buku-buku dan hiasannya teratur, bersih dan cantik. Satu lagi pemandangan di bilik tidur yang berselerak. Pakaiannya bersepah, buku tidak tersusun dan penuh dengan sampah sarap. Apakah persepsi kita? Bagaimanakah sekiranya bilik tidur kitalah yang bersepah itu?

Bilik tidur kita boleh menggambarkan sikap kita terhadap kebersihan. Bilik tidur yang kotor menggambarkan sikap pengotor pemiliknya. Sikap pengotor akan terbawa kepada mindanya. Fikiran menjadi tidak ceria dan berserabut.

Kebersihan ada pautannya kepada kesihatan. Kebersihan menatijahkan kesihatan kerana terbebasnya dari serangan kuman. Kekotoran mengundang pelbagai kuman dan penyakit. Badan yang berpenyakit adalah badan yang tidak sihat, lemah dan biologi bermasalah. Kita terpaksa pula menghabiskan wang untuk membeli pelbagai ubat dan keperluan rawatan. yang kroniknya ialah apabila sakit mengganggu ibadat kita. Elok-elok boleh beribadat dengan baik, terpaksa ‘cuti’.

Kesimpulannya, untuk menjadi insan yang segar fizikalnya, ceria raut wajahnya dan hebat mindanya, kita hendaklah menitikberatkan kebersihan dan kesihatan. Selebihnya ialah kita perlu menilai juga persepsi orang lain terhadap kita. Kebersihan membawa penghormatan manakala kekotoran membawa cemuhan.

Thursday, October 15, 2009

Mengapakah Perlu Berterima kasih Kepada Guru?



Putera-puteri sekalian,
Kejayaan kita ketika dewasa nanti bukan datang begitu sahaja. Kejayaan itu melalui satu proses yang panjang. Proses itu telah diambil peranannya oleh salah satu pihak yang mungkin kita tidak temui lagi pada waktu dewasa kita. Mereka ialah guru-guru kita. Guru-guru yang dimaksudkan ialah guru-guru sekolah, guru-guru Quran dan guru-guru kelas fardhu ain. Malah sesiapa sahaja yang pernah mengajar dan mendidik kita, adalah guru kita yang pernah mencurahkan jasanya kepada kita.

Dalam proses menitiskan ilmu, guru telah berusaha keras untuk melihat kita berjaya dan menjadi manusia yang berguna suatu hari nanti. Mereka mendidik dan menjaga kita di sekolah seperti anak mereka sendiri. Mereka menyambut kejayaan kita dalam peperiksaan seperti kejayaan anak-anak mereka sendiri. Yang anehnya, mereka tak akan dapat sesuatu dari kita.

Berjayanya seorang anak akan memanfaatkan ibu bapa. Ibu bapa mungkin dibantu apabila semakin tua. Hadiah akan dihulurkan dari semasa ke semasa. Sebahagian pendapatan kita mungkin digunakan untuk menampung keperluan ibu bapa yang kesempitan. Tetapi guru-guru kita tidak akan mendapat apa-apa. Malah kita pun tidak akan tahu di mana mereka berada pada masa itu. Entah mereka masih hidup, menderita sakit atau telah lama meninggalkan dunia yang fana’ ini. Yang mereka dapat ialah sekadar ucapan terima kasih ketika kita masih bersekolah dulu. Itu pun kalau kita tidak loket untuk mengucapkan terima kasih.

Putera-puteri yang dikasihi,
Mungkin ada kesilapan guru-guru kita dalam mendidik kita. Mungkin kita pernah malu dan tercabar dengan tindakan mereka. Tetapi semua itu apalah nilaiannya jika hendak dibandingkan dengan kejayaan kita. Mereka secara kolektif telah menghadiahkan kebahagiaan kepada kita yang akan kita rasai sehingga akhir hayat kita. Malah ilmu khususnya ilmu agama akan menyelamatkan kita di akhirat kelak. Alangkah besarnya jasa mereka itu berbanding kesilapan mereka yang sedikit. Justeru itu, maafkanlah mereka jika mereka tersilap dan berdoalah untuk mereka.

Ingatlah bahawa kita pernah memohon restu mereka sebelum menghadapi peperiksaan. Mereka telah merestui kita tanpa pilih kasih. Apabila kita telah dewasa dan berjaya nanti, apakah sikap dan pengorbanan kita untuk mereka? Tidak mampukah kita menghadiahkan kepada mereka doa dan alfatehah sekurang-kurangnya? Fikir-fikirkan.

Wednesday, October 14, 2009

URUSKAN MASA DENGAN BAIK



Anak-anak yang semakin matang dan dewasa,
Antara kelemahan utama bangsa kita ialah gagal menepati masa. Kalau mesyuarat atau majlis pukul 9.00 pagi, maka orang datang pukul 9.30 pagi. Kalau usrah patut bermula pada pukul 9.00 malam, maka pukul 9.30 malam baru boleh bermula. Begitulah juga dalam segala aktiviti dan program hidup bangsa kita. Inilah salah satu aspek kelemahan dalam pengurusan masa.

Masa hendaklah diurus dengan baik. Bukan sahaja kita mesti menepati masa malah mengatur masa kita dalam kehidupan harian dengan sempurna. Pengurusan masa harian yang sempurna bermula dengan bangun awal pagi untuk solat Subuh dan berakhir dengan mula tidur antara pukul 11.00 hingga 12.00 malam agar cukup tidur untuk bangun keesokannya untuk solat Subuh.

Antara Subuh dan waktu tidur malam itu, sewajarnya disusun dengan aktiviti, program dan rutin yang bermanfaat sesuai dengan masanya. Masa umpama kertas lukisan. Pada kertas itulah kita mengatur warna dan corak yang sesuai agar lukisan yang terhasil indah dan berkualiti. Masa yang dibazirkan umpama kertas lukisan yang ada ruang-ruang yang tidak diwarnakan. Lukisan ini boleh dianggap tidak sempurna atau gagal disiapkan. Manakala masa yang diisikan dengan aktiviti negatif dan pengurusan masa yang tidak teratur umpama lukisan yang berkecamuk, salah warna dan comot.

Along, Abang Ngah, Iwan, Abang Cik dan Kikat mesti ambil berat tentang pengurusan masa ini. Belajarlah menepati masa walaupun bangsa kita terus meremehkannya. Gagal menepati masa samalah gagal menepati janji. Mungkir masa = mungkir janji. Munafik namanya. Muslim yang baik adalah muslim yang tahu menguruskan masa dan menepatinya. Insya-Allah, masa depan dan kehidupan menjadi baik bagi orang yang pandai menguruskan masa.

Monday, October 12, 2009

JAGA HUBUNGAN ADIK-BERADIK





Putera-puteriku sekalian,
Konsep ‘yang tua dihormati, yang muda dikasihi’ perlu diamalkan untuk mewujudkan keharmonian dalam hidup bermasyarakat. Dalam sesebuah keluarga khususnya di kalangan adik-beradik, konsep ini amat penting untuk kemesraan dan kesejahteraan bersama.

Abang dan kakak mestilah mempunyai perasaan sayang dan kasih kepada adik. Kasih akan melahirkan rasa ingin membimbing, ingin lihat ceria, selamat, sejahtera, memaafkan dan bertolak-ansur dengan adik-adik. Abang dan kakak hendaklah memainkan peranan dan tanggungjawab ini. Sebagai abang dan kakak yang bertanggungjawab dan penyayang, sewajarnya sentiasa memantau kelakuan adik-adik , menasihati mereka, membimbing mereka, membantu menyelesaikan masalah mereka, mengambil berat sakit mereka dan sebagainya.

Yang menjadi adik pula mesti ada rasa hormat dan berlaku hormat kepada abang dan kakak. Jangan menyakitkan hati mereka, jangan berlaku tidak sopan, dengar dan patuh nasihat mereka, memaafkan kesilapan mereka, bertolak-ansur dengan mereka dan sebagainya. Adik hendaklah menjadikan abang dan kakak sebagai pengganti atau wakil ibu dan ayah dalam hubungan dengan mereka.

Semakin kita meningkat matang dan dewasa maka semakin perlu konsep ini diamalkan. Apabila besar, kita sudah pandai berkecil hati, dengki, marah, bosan dan sebagainya. Tanpa mengamalkan konsep di atas, sudah pasti berlaku kekeruhan dalam hubungan adik-beradik. Ada dengki dan kelahi kerana harta, rasa diketepikan dan berat sebelah oleh ibu bapa, rasa rendah diri dan dengki atas kelebihan abang atau adik dan sebagainya.

Apabila adanya konsep ini dalam diri masing-masing sudah pasti timbul rasa mengalah, memaafkan, redha, mesra dan bertimbang rasa dalam kalangan adik-beradik. Maka wujudlah hubungan adik-beradik yang mesra, erat, bantu-membantu , penuh hormat dan kasih sayang sehingga ke usia tua. Dengan izin Allah, ini menjamin kesejahteraan dan kemesraan yang diredhai Allah.

Along, Abang Ngah, Adik Wan, Abang Cik dan Kikat mesti ambil berat perkara. Ba dan Umi akan serabut dan tidak sejahtera sekiranya adik-beradik bergaduh, dengki, bermasam muka, tidak mesra dan bawa hal masing-masing. Hubungan adik-beradik yang baik adalah sesuatu yang menyejukkan hati ibu bapa dan begitulah pula sebaliknya.